Wednesday, May 18, 2011

Ahlis Sunnah Bukan Al-Asya'irah

Sumber :

http://www.islamiq.sg/2011/04/ahlis-sunnah-bukan-al-asyairah-3.html


Bab 2: Sejarah kemunculan dan permulaan gelaran atau golongan “Ahlis Sunnah”

2.1 Kenyataan “fakta” sejarah yang tidak tepat dan tidak benar:

a. Hadith Ibn Abbas

Ibn ‘Abbas radhiyallahu'anhuma (w.68H), Sahabat dan sepupu Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam diriwayatkan telah menyatakan berkenaan ayat (Surah Ali ‘Imran: 106):

“يوم تبيض وجوه و تسود وجوه”

(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam..

“muka yang putih berseri adalah wajah-wajah Ahlis Sunnah”

- Telah diriwayatkan oleh al-Lalaka-i dalam Syarh Usool I‘tiqad Ahlis Sunnah dan Ibn Katsier dalam Tafsiernya berkenaan ayat Surah Ali ‘Imran: 106
- Perlu diteliti kesahihannya dengan riwayatnya sebagai kata-kata Ibn ‘Abbas radhiyallahu'anhuma yang dipertikaikan oleh para Ahli Hadis dan Riwayat.


b. Imam Abul Hasan al-Asy‘ariy

Dakwaan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy‘ariy rahimahullah (lahir:260H) memulakan gelaran ini dan pengasasnya adalah suatu kesilapan yang nyata. Sebab, ramai ‘ulama terkemuka umat ini akan terkeluar daripada “Ahlis Sunnah wal Jamaah”. Sepertimana dakwaan buku: I’tikad Ahli Sunnah wal Jama‘ah oleh KH Sirajuddin ‘Abbas (hlm. 30 – Kaum Ahlussunnah wal Jama’ah muncul pada Abad ke 3 Hijriyah) dan lebih buruk lagi kenyataan beliau (hlm. 34):

“إذا أُطلق أهلُ السنة فالمراد به الأشاعرة و الماترودية”

Ertinya: "Jika ungkapan Ahlus Sunnah disebutkan secara mutlak maka (langsung difahami) ia merujuk golongan dan pengikut Asya’irah dan Matrudiyah."

Kebatilan dakwaan ini amat jelas dengan fakta berikut:
Al-Asya‘irah adalah pengikut prinsip dan pegangan Aqidah yang diasaskan oleh Abu Hasan al-Asy‘ariy (260-324H - semoga dirahmati Allah).
Abul Hasan sendiri akhirnya meninggalkan Fahaman berasaskan aliran Kullabiyah ini dan akhirnya mengikuti ajaran Imam Ahmad , Imam Ahlis Sunnah.
Imam 4 Madzhab termasyhur semuanya akan terkeluar daripada rumpun Ahlis Sunnah jika kita terima “Asya‘irah=Ahlis Sunnah” sebab mereka wafat sebelum kelahiran Abul Hasan.
Para Imam 4 Madzhab dan Imam terkemuka lainnya bukan berfahaman Asya‘irah dan mustahil mengikuti fahaman ini kerana tarikh lahir dan wafat mereka lama sebelum kelahiran Imam Abul Hasan al-Asy‘ariy (260H)
Imam-Imam yang didakwa terkeluar dari Ahlis Sunnah kerana mustahil berfahaman Asya‘irah akibat tarikh kewafatan mereka:
Imam Abu Haniefah (Madzhab Hanafi): 80H-150H
Imam Malik bin Anas (Madzhab Maliki): 93H-179H
Imam Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie : 150H-204H
Imam Ahmad bin Hambal (Hambali) : 164-241H
Imam al-Bukhariy (194-256H), Imam Muslim (204-261H) dan
Golongan at-Tabi‘ien (‘Ulama yang merupakan murid utama para Sahabat) juga akan tersingkir daripada golongan Ahlis Sunnah jika kita terima kesimpulan ini.

2.2 Kemunculan Ahlis Sunnah Yang Sebenar

Kata Imam Ibn Sirien rahimahullah (w.110H):
“Mereka (para Sahabat dan at-Tabi‘un) tidak pernah bertanya tentang al-Isnad (rangkaian para perawi), tetapi bila tercetusnya fitnah, mereka mula mengatakan: Sebutkan siapa-siapa perawi (yang telah menyampaikan kepada) kamu. Maka periwayatan Ahli Sunnah diperhatikan dan diterima dan begitu pula periwayatan Ahli Bid‘ah diteliti dan ditolak.” [Riwayat Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Muqaddimah, Bab 5: Bab Bayan anna al-Isnad min ad-Dien dan Sahih Muslim bi Syarh an-Nawawi, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut: 1995/1405H, juz.1 hlm.78]
Jika kita amati, inilah riwayat yang terpelihara dan yang dapat dikatakan paling awal menyebutkan perkataan “Ahlis Sunnah”. Riwayat ini adalah daripada Kitab Sahih Muslim, kitab ketiga terjamin kebenarannya bagi umat Islam, selepas al-Qur’an dan Kitab Sahih al-Bukhariy. ‘Ulama’ Islam sejak zaman dahulu lagi, semenjak kemunculan kedua-dua kitab ini, bersepakat terhadap kebenaran hadis-hadis yang diriwayatkan secara bersama oleh al-Imam al-Bukhariy dan al-Imam Muslim. Berbeza dengan dakwaan yang didakwakan sebahagian pihak seperti KH Sirajuddin ‘Abbas yang mengutip kata-kata Syekh Murtadho az-Zabidi di dalam Ithaf Sadatil Muttaqien, yang tidak disertai jaminan mana-mana ‘alim terkemuka umat Islam.

Tentunya jika dengan adil dalam penilaian, riwayat yang terjamin yang menyebutkan “Ahlis Sunnah” adalah yang meyakinkan kita, apatah lagi ini permasalahan Aqidah dan ajaran Islam golongan yang benar yang digelarkan “Ahlus Sunnah” berbanding dengan suatu kenyataan yang dikutip daripada seseorang, yang tidak terjamin kebenaran dakwaannya.

Justeru itu, ungkapan Imam Ibn Sirien rahimahullah yang wafat pada tahun 110H, diyakini kebenarannya kerana ia diriwayatkan oleh Imam Muslim (wafat 261H) dengan sanadnya daripada beliau, yang menyatakan telah adanya “Ahlus Sunnah” ketika tercetusnya fitnah.

Fitnah yang dimaksudkan adalah kemunculan al-Khawarij, puak pengikut hawa nafsu, ahli bid‘ah yang pertama muncul di kalangan umat Islam yang bersatu padu yang dengan kemunculannya umat mula berpecah-belah. Fitnah ini berlaku pada tahun 37H, bererti “Ahli Sunnah” adalah golongan yang telah wujud pada zaman yang awal ketikamana para Sahabat ramai yang masih hidup, antaranya ‘Aliy (w.40H), ‘A-isyah (w.58H), Abu Hurairah (w.59H) Ibn ‘Abbas (w.68H) dan ramai lagi.

Dengan kesimpulan ini juga, iaitu “Ahlus Sunnah” telah muncul pada zaman tersebut (tahun 37H), kesemua para Imam Ahli Ijtihad, murid setia para Sahabat, Imam 4 Madzhab, Imam-imam Ahli Hadis, keseluruhan at-Tabi‘un dan Tabi‘ut Tabi‘in, semuanya terangkum dalam golongan Ahlis Sunnah.

Oleh yang demikian, kita tidak akan merujuk satu-satu kitab karangan seorang ‘alim zaman kebelakangan untuk mengetahui dan berpegang dengannya atau menjadikannya sebagai sandaran pegangan tulen Ahlis Sunnah wal Jama‘ah semata-mata, malah sewajibnya kita mendapatkan ajaran dan pegangan ‘Aqiedah kita berpandukan ajaran golongan ‘ulama pada zaman yang dijamin Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam dan Ahlis Sunnah sejak zaman para Imam terdahulu yang digelar Salaf as-Salih.

Malangnya, begitu ramai pihak yang bersandarkan kepada karangan KH Sirajuddin ‘Abbas sahaja dan menjadikan sebagai rujukan utama kajiannya, tanpa mengkaji kitab-kitab ‘ulama terdahulu, dengan mudah dan sewenangnya menghukumkan al-Asya‘irah itu adalah Ahlis Sunnah dan yang tidak berpegang dengan ajaran al-Asya‘irah bukan Ahlis Sunnah, sesat dan menyeleweng. Allahul Musta‘an.


*Risalah ini telah disiapkan oleh Ustadz Hamzah Jummat.
at Sunday, April 24, 2011