Sunday, May 11, 2008

TAG - MEME ISLAM, SIRI 3

Alhamdulillah! Hari ini Sabtu 10 Mei 2008 aku dapat buka komputer, dan mula tulis untuk blog ku dan cuba jawab baki soalan TAG yang dikirim oleh D. Sebenarnya aku belum betul-betul sihat, kepala masih pusing2 lagi, tapi bolehlah tekan keyboard ini.

OK, aku backforward sikit. Mengenai cara buat link. Pada entry 30 April 2008 blog ku aku telah tulis orang yang telah TAG ku iaitu D. Pada mulanya aku tulis seperti ini
D http://pausetoreflect.blogspot.com/2008/04/tagged-islamic-meme.html
Selepas aku pos entry ini aku terfikir, orang lain punya link pendek sahaja tapi aku punya link punyalah panjang. So, aku pun buat research sikit dan dengan sikit experiment aku berjaya memendekkan link seperti ini D sahaja.
Caranya ialah seperti berikut : 1) Copy alamat link yang dikehendaki pada bahagian atas webpage. 2) Kemudian pada page DRAFT GOOGLE BLOG taipkan huruf atau nama yang hendak di link-kan. SELECT-kan huruf atau nama itu. 3) Kemudian CLICK pada INSERT LINK pada DRAFT PAGE. Kemudian PASTE-kan alamat LINK yang telah di COPY-kan tadi. Kemudian CLICK OK. Dan jadilah LINK seperti yang dikehendaki pada page DRAFT.

Baiklah, kita masuk terus kepada soalan TAG seperti berikut :

2) What Hadith (Qudsi or Sunnah of the Prophet salalahi alahi wa salaam) do you find most inspiring and why?
Apakah Hadis (Qudsi atau Sunnah Nabi S.A.W.) yang awak dapati paling memberi inspirasi dan kenapa?

Jawabannya ialah Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ummul Mukminin yaitu Ummu Abdullah ‘A-isyah R.HA. katanya : Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Barangsiapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini suatu pekerjaan yang tiada daripadanya, maka (yang diada-adakan) itu tertolak. Dan pada satu riwayat Muslim Baginda bersabda : Barangsiapa yang mengerjakan suatu pekerjaan yang tiada di atasnya urusan kami, maka ia tertolak.

Hadis sahih yang disepakati oleh Al-Bukhari dan Muslim ini mengajar kita agar berhati-hati dalam beramal sesuatu amalan agama agar amalan yang kita lakukan itu tidak sia-sia di sisi Allah dan agar kita tidak rugi di Akhirat nanti. Hadis ini juga secara halusnya menuntut kita agar sentiasa memeriksa dalil akan setiap amalan yang kita lakukan supaya sentiasa menepati As-Sunnah. Mana-mana amalan yang menyalahi dalil-dalil yang sahih maka hendaklah ditinggalkan agar kita terselamat dari ancaman hadis di atas. Dengan mengetahui dalil-dalil secara tepat akan setiap amalan kita itu, dan dengan kefahaman yang sahih maka kita terselamat dari mengada-adakan sesuatu dalam agama ini.

Sangat banyak contoh-contoh yang boleh ku berikan supaya menjadi iktibar. Antaranya, kira-kira lapan tahun dulu aku suka pakai cincin di jari tengah, kononnya ikut sunnah. Satu hari telah sampai kepadaku satu hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, At-Turmuzi dan An-Nasai dari Ali bin Abi Talib a.s., dia berkata “Rasulullah s.a.w.a. telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya (jari tengah atau jari hantu).”Selepas aku terima hadis ini aku tinggalkan amalan memakai cincin di jari tengah kerana larangan hadis tadi. Aku pun menulis satu artikel mengenai perkara ini dan ku sebarkan kepada kawan-kawan dan orang-ramai. Ada yang mengikut hadis cincin ini dan ada yang beri alasan untuk tak mahu ikut.

OK. Setakat ini untuk soalan No. 2. Soalan berikutnya ialah :

3) Other than the Prophet himself salallahi alaihi wa salaam - what Muslim man do you find most inspiring and why?
Selain dari Nabi s.a.w. sendiri – siapakah LELAKI MUSLIM yang awak dapati paling memberi inspirasi dan mengapa awak berkata demikian?

Jawabannya ialah ‘Ali Bin Abi Talib. Beliau sepupu Nabi s.a.w.a., menantu Baginda s.a.w.a., dan Khalifah Islam Ar-Rasyidin yang keempat. Beliau seorang sangat berjiwa besar, sangat penyabar dan sangat berilmu dan bijaksana. Perjalanan hidup beliau dari zaman kanak-kanak hinggalah beliau mati syahid penuh dengan pengajaran bagi orang-orang yang berakal.

Beliau seorang yang sangat penyabar dengan kesabaran yang indah. Apabila merasakan haknya tidak diberikan kepada yang berhak maka beliau sangat bersabar, beliau tidak melancarkan pemberontakan melawan Khalifah Abu Bakar, malah memberikan bai’ah kepadanya walaupun pada kadar yang sungguh lambat. ‘Ali a.s. juga sentiasa memberikan nasihat-nasihat kepada Khalifah-Khalifah Islam sebelumnya, dan sejarah telah membuktikan beliau telah banyak menyelamatkan banyak keadaan dengan pandangannya yang bernas, jitu dan tepat.

Kepahlawan beliau di medan perang sudah sangat terkenal dan beliau sangat digeruni oleh kaum musyrikin.

Sifat kebijaksanaan dan kepahlawanan beliau turunkan kepada putera beliau Al-Hasan dan Husain. Pernah semasa Uthman dikepung oleh pemberontak, ‘Ali telah memerintahkan Al-Hasan dan Husain mempertahankan Uthman, tapi apakan daya kerana bilangan pemberontak lebih ramai maka Uthman telah terbunuh.

Di antara hadis sahih yang menyatakan keutamaan ‘Ali ialah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid Bin Al-Arqam r.a. yang menerangkan mengenai peristiwa Ghadir Khum, dimana Rasulullah s.a.w.a. bersabda : “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang penting, salah satu daripadanya lebih besar daripada yang lain : Kitab Allah Ta’ala dan ahli keluarga terdekatku. Maka perhatikanlah bagaimana sikap kalian terhadap kedua-duanya sepeninggalan aku kerana sesungguhnya kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga bertemu dengan aku di Telaga Al-Haudh (di Akhirat kelak).” (Zaid berkata) : Kemudian baginda bersabda : “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla adalah Mawla aku dan aku adalah mawla bagi setiap Mukminin.” (Kemudian Zaid menerangkan) : Kemudian baginda mengangkat tangan ‘Ali r.a. lalu bersabda : “Barangsiapa aku adalah mawlanya maka inilah (‘Ali) walinya. Ya Allah! Cintailah sesiapa yang memperwalikannya dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya.”
Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak hadis No 4576, dan disahkan oleh Az-Zahabi.

Dalam amalan seharian sekiranya sesuatu amalan itu mempunyai beberapa cara mengamalkannya maka aku memilih amalan yang berasal dari hadis ‘Ali a.s. Contohnya, doa antara tasyahhud akhir dan salam ada banyak hadis dengan lafaz bacaan yang berlainan, tetapi aku lebih tenang memilih hadis dari ‘Ali yang diriwayatkan oleh Muslim sebagai berikut : Bila Rasulullah s.a.w.a. berdiri mengerjakan solat maka ucapan terakhir yang dibacanya di antara tasyahhud dan taslim ialah : (Terjemahannya) Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu mahupun yang terkemudian, apa-apa yang tersembunyi dan yang kunyatakan, apa-apa yang ku terlanjur dan apa-apa yang Engkau sendiri lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang memajukan dan Engkaulah yang menangguhkan. Tiada Ilah melainkan Engkau.

Sekian untuk soalan ini.

Soalan berikutnya ialah :

4) Who is the most inspiring Muslim woman to you and why?
Siapakah wanita muslim yang paling memberi inspirasi kepada awak dan mengapa awak berkata begitu?

Jawapannya adalah sama dengan D, iaitu Khadijah Binti Khuwailid. Bukan kerana namanya sama dengan D, bukan kerana namanya sama dengan ibuku tapi kerana kualiti-kualiti unggul yang ada padanya.

Khadijah a.s. adalah isteri Rasulullah s.a.w.a. yang paling unggul dan yang paling disayanginya, walaupun setelah lama beliau meninggal dunia sehingga menyebut-nyebut namanya sehingga menimbulkan rasa cemburu kepada isterinya ‘A-isyah. Khadijah a.s. juga adalah ibu kepada Fatimah Az-Zahrok a.s. seorang wanita utama yang tidak akan dapat ditandingi oleh wanita-wanita lain sepanjang zaman setelahnya. Dua orang wanita ini telah melakar sejarah gemilang yang tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana wanita lain sekalipun. Dari zuriat Fatimah a.s. lahirlah dua orang putera yang paling unggul, Ketua Pemuda Di Syurga iaitu Al-Hasan dan Husain a.s. Dan di rumah Rasulullah s.a.w.a. dan Khadijah a.s. telah terdidik bakal pejuang Islam yang sangat mulia iaitu ‘Ali a.s.

Apabila Rasulullah s.a.w.a. menerima wahyu pertama, dan balik rumah dalam keadaan ketakutan, maka Khadijah-lah yang memberi kata perangsang dan semangat kepada baginda, Khadijah-lah yang terus membenarkan wahyu pertama itu tanpa soal sedikit pun.

Apabila Rasulullah telah dimusuhi dan didustakan oleh kaumnya, maka Khadijah-lah yang menyokong dan membantu Baginda s.a.w.a. dalam semua segi yang termampu. Ini lantaran Khadijah a.s. mengetahui sungguh-sungguh akan keperibadian Rasulullah s.a.w.a. yang sentiasa berkata benar, amanah, selalu menolong orang yang kesusahan, selalu menyambung silaturrahmi, dan selalu bersifat pemurah.

Segala sokongan tidak berbelah bagi dari Khadijah a.s. ini sangat berbekas ke jiwa Rasulullah s.a.w.a. walaupun setelah lama Khadijah a.s. meninggal dunia. Tiada isteri Baginda yang lain yang dapat menggantikan Khadijah a.s. walaubagaimanapun berusaha.

Setakat ini komenku. Soalan berikutnya ialah :

5) What CONTEMPORARY (i.e., living) Muslim do you find most inspiring and why?
Siapakah Muslim semasa (yang masih hidup) yang anda dapati paling memberi inspirasi dan mengapa anda kata demikian?

Soalan ini memang payah untuk ku jawab. Setelah ku pelajari sifat-sifat Nabi s.a.w.a. dan sifat-sifat sahabat yang utama, maka payah untuk mendapati orang yang memuaskan hatiku. Buat masa ini jawabannya ialah tiada kepada soalan ini.

Kalau soalannya tidak tertakluk kepada Muslim yang masih hidup, munkin aku boleh jawab dengan beberapa orang tokoh yang hebat.

Baiklah, soalan berikutnya ialah :

6) How has Islam inspired you in your daily life?
Bagaimanakah Islam telah memberi inspirasi dalam kehidupan seharian anda?

Apabila aku telah mengucap dua kalimah syahadah, maka aku faham bahawa seluruh kehidupanku hendaklah tertakluk kepada makna dua kalimah syahadah itu. Apabila aku mengatakan Tiada ILAH melainkan Allah, maka semua ILAH-ILAH selain daripada ALLAH hendaklah aku reject, hendaklah aku tolak dengan penolakan TOTAL. ILAH-ILAH yang dimaksudkan ialah semua ism-ism, semua berhala-berhala dan semua thoghut-thoghut, maka semua itu hendaklah di tolak melainkan ALLAH sahaja. Dan ALLAH dengan rahmatNya telah menurunkan Al-Quran untuk panduan TOTAL kepada kehidupan manusia beriman di dunia ini dan untuk kebahagiaan mereka di Akhirat nanti. Maka Al-Quran ini wajib bagi yang telah mengucap dua kalimah syahadah tadi untuk mengambilnya secara keseluruhan tanpa menolak walau sedikit pun dari isi kandungannya. Penolakan walau sedikit pun dari Al-Quran bermakna telah batallah dua kalimah syahadah yang telah diucapkan tadi.

Apabila aku mengucap bahawa Muhammad itu adalah Rasulullah, bermakna aku mengaku untuk mengikut semua ajaran yang dibawa oleh baginda tanpa penolakan walau sedikit pun. Aku faham bahawa konsekuen / akibat dari mengucap dua kalimah syahadah ini aku mesti mengikut sunnah Nabi s.a.w.a. dalam semua bidang kehidupan di dunia ini, dan mengingkari semua sunnah-sunnah yang menyalahi sunnnah Nabi s.a.w.a.

Dalam kehidupan seharianku, Islam telah mencorakkannya, walaupun tidak sepenuhnya, kerana kelemahan-kelemahanku sebagai manusia. Sejak aku mengenal dakwah Islam sejak umur 14 tahun di sekolah berasrama penuh, telah ku tambahkan sedikit demi sedikit amalan-amalan Islam dalam kehidupanku, telah ku tambah sedikit demi sedikit fahaman mengenai Islam hinggalah kepada keadaanku seperti hari ini. Untuk mengalami seperti ini memerlukan jihad dan ketahanan jiwa, ketahanan hati dari segala yang mahu mengalihkan perhatian ku daripada mengamalkan Islam secara komprehensif. Tanpa kekuatan jiwa dan ketahan hati, seseorang tidak munkin akan berjaya mengamalkan sunnah Islam. Nafsu seseorang akan sentiasa mengajak kepada keindahan dan keseronokan dunia yang melalaikan. Rakan-rakan, sahabat-sahabat, saudara dan manusia amnya akan mengadakan rintangan secara halus supaya kita meninggalkan jihad untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan.

Dalam banyak hal aku terpaksa bersendirian dalam mengamalkan Islam, kerana aku lebih sayangkan Allah dan RasulNya lebih dari dunia ini. Kalau ditaqdirkan aku bersendirian ketika mati kerana menegakkan Islam, maka aku ridho.

Setakat ini ulasan aku. Soalan terakhir berikut ialah :

7) If you could do anything at all to inspire others through Islam, how would you do it?
Kalau anda boleh melakukan sesuatu untuk memberi inspirasi kepada orang lain dengan Islam, bagaimanakan anda melakukannya?

Perkara pertama dan utama dalam memberi inspirasi kepada orang lain adalah dengan mengamalkan Islam itu dengan ikhlas dan dengan cara yang betul dan tepat sesuai dengan Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w.a.

Walaupun manusia tidak faham, aku tetap akan mengamalkan Islam itu. Aku akan tetap mengamalkan sunnah itu tanpa ada rasa takut kepada celaan orang yang mencela. Dengan keteguhan hati yang telah kutunjukkan itu, diharapkan orang-orang yang berminat kepada Islam akan nampak akan keindahan Islam itu suatu hari nati, insyaAllah.

Perkara kedua adalah memberi nasihat secara lisan. Dengan berbekalkan ilmu yang tepat, insyaAllah aku mampu memberi nasihat kepada yang memerlukannya atau kepada yang merasa tidak memerlukannya.

Perkara ketiga ialah memberi nasihat dan dakwah secara tulisan. Inilah yang banyak telah ku lakukan sejak 10 tahun terakhir ini. Kalau ada sesuatu isu yang menarik minatku, aku akan melakukan research mengenai perkara ini dan akan ku tulis sebuah artikel yang berkaitan. Artikel ini sebesar saiz A4 atau A3, ringkas, padat dan mudah difahami tanpa penjelasan yang berjela-jela. Artikel ini mesti mengandungi hadis-hadis yang berkaitan, dan atau penjelasan ulama mengenainya. Artikel yang aku terbitkan ini akan aku edarkan kepada yang berkenaan, kepada rakan-rakan dan saudara-mara. Inilah satu sumbangan kecil ku terhadap Islam, semoga bermanafaat kepada sesiapa yang menerimanya. Semoga aku mendapat balasan yang baik disisi Allah s.w.t.



Perkara keempat ialah dengan menganjurkan kelas pengajian Islam. Perkara ini pernah aku lakukan lapan ke sepuluh tahun dahulu semasa aku memegang jawatan setiausaha pentadbiran dan setiausaha tarbiah sebuah parti Islam di Ibukota. Sebahagian besar kelas pengajian atau ceramah diadakan di rumah kediamanku. Antara pengajian yang sangat berkesan kepada diriku sehingga ke hari ini ialah kursus mengambil wudhu ikut sunnah dengan menggunakan air yang sungguh sikit, yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zain. Penganjuran kelas pengajian ini adalah sebahagian kecil dari sumbanganku untuk Islam, semoga bermanfaat setiap yang mendengarnya dan semoga dicontohi oleh generasi kepimpinan yang lain.

Sekian jawabanku untuk soalan TAG dari D.

Untuk memenuhi peraturan No. 3 TAG ini, dengan ini aku passkan TAG ini kepada :
ibnuhasan, nama serupa dengan namaku, aku dapat nama ini dari BLOG Search.
minnt pun nama hampir serupa dengan namaku
Nawi, rakan sepengajian ustaz RD

Setelah siap draf di atas maka aku Publish Draf ini pada malam Isnin 12 Mei 2008.

Note : Pada Selasa 13 Mei 2008 aku telah edit sikit (betulkan ejaan dan betulkan sebuah istilah perkataan, iaitu pada para kedua - dari 'Kemudian COPY-kan alamat LINK' kepada 'Kemudian PASTE-kan alamat LINK' ) pada post di atas. Mengenai tarikh post yang tertera di atas Post ini, maka ini diluar kawalanku kerana tarikh itu kurang tepat, wallahua'lam.

Wednesday, May 7, 2008

DEMAM

Petang ini aku rasa kurang demam. Dah boleh buka computer dan taip. Mula rasa demam sejak petang Jumaat lepas, lepas balik dari kerja, rasa demam sikit-sikit. Malam sebelum tu tulis entry untuk post bertajuk TAG - MEME ISLAM, SIRI 2. Dan besoknya baru rasa demam betul. Sebab-sebabnya munkin stress kerja, stress computer dan cuaca panas.

Kerja-kerja professionalku terpaksalah cuti sampai hari ini. Dan janjiku untuk menjawab baki soalan TAG itu terpaksa aku tangguh, Minta maaf kepada yang telah dijanji itu.

Thursday, May 1, 2008

TAG - MEME ISLAM, SIRI 2

Bismillah. Alhamdulillah, hari ini dapat sambung semula tulis blog-ku ini.
Sebenarnya dalam masa aku mendraf jawaban aku telah bereksperimen dengan beberapa teknik blogger ini. Aku tekan sana, tekan sini, akhirnya jadilah seperti posting semalam. Aku telah belajar bagaimana nak buat LINK dalam page. Inilah satu cara aku belajar teknik memblog, nak tanya orang, tiada siapa berdekatan nak ditanya.
Seperti yang dijanjikan semalam aku akan jawab soalan TAG itu.
SOALAN PERTAMA ialah :

1) What Qur’anic verse do you find most inspiring and why? What does it mean to you personally?
Ayat Quran apakah yang anda dapati paling memberi inspirasi (ilham / semangat / dorongan) dan mengapa? Secara peribadi, apakah maknanya ayat itu kepada anda?
Jawaban soalan ini bukannya satu atau dua ayat Al-Quran, kerana bagiku terdapat satu grup ayat yang paling memberi inspirasi kepadaku.
Supaya posting ini tidak terlalu panjang aku akan beri hanya satu sahaja ayat iaitu dari Surah Ali 'Imran 3 : Ayat 31 seperti berikut terjemahannya :
"Katakanlah (wahai Muhammad) Jika kamu (benar-benar) mengasihi Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni kamu." Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Pada dasarnya setiap orang yang beriman wajib kasih kepada Allah dan RasulNya Muhammad s.a.w.a.
Allah telah beri satu panduan yang sangat berharga kepada orang yang mengaku kasih kepada Allah. Dengan cara mengikut panduan ini Allah akan membalas dengan mengasihi pula mereka dan mengampuni mereka. Siapakah yang tidak mahu dikasihi oleh Allah dan mendapat keampunanNya??? Apa dia panduan dari Allah itu? Caranya ialah dengan mengikuti Nabi Muhammad s.a.w.a.; iaitu dengan cara mengikuti / mengamalkan sunnah Nabi s.a.w.a. dalam semua aspek kehidupan di dunia ini, samada terdiri dari urusan dunia atau terdiri dari urusan akhirat. Pembahagian sunnah dari segi bahasa, dari segi syara' dan berbagai pembahasan mengenai sunnah Nabi s.a.w.a., maka di sini bukanlah tempatnya, dan aku tak bermaksud untuk membahasnya. Maulid Nabi s.a.w.a. telah berlalu tak berapa lama. Pada musim perayaan ini kita akan saksikan orang-orang akan melaung-laungkan salawat ke atas Nabi s.a.w.a., bernasyid, bersyair memuji dan menyatakan kasih kepada Nabi s.a.w.a. Tetapi kita akan juga saksikan mereka dan yang lain-lain berani melakukan berbagai bid'ah dan pembohongan ke atas Rasulullah s.a.w.a. secara terang-terangan. Sudah tentu gejala ini bertentangan dengan ayat Al-Quran yang dinyatakan tadi, kerana yang diperintah ialah "Mengikuti Nabi s.a.w.a." bukannya membuat pembohongan ke atas Nabi s.a.w.a. Kalau ada izin Allah akan ku jelaskan lagi (di lain tempat) mengenai perkara ini.
Bagi diriku, ayat tadi memberi dorongan untuk mengikut sunnah Nabi s.a.w.a. dengan cara berazam di hati untuk mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w.a. keseluruhannya, kemudian akan dilaksanakan sekadar kemampuan diriku. Begitu juga ayat ini ku gunakan dalam memberi dorongan kepada sasaran dakwahku apabila aku menulis beberapa artikel mengenai Islam.
Satu daripada ajaran Nabi s.a.w.a. mengenai KASIH ialah dari sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim seperti berikut : Rasulullah s.a.w.a. bersabda (yang artinya), "Seseorang tidak beriman sehingga aku lebih dikasihi daripada kedua orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia"
Begitu juga kasih kepada Allah dan RasulNya akan membawa kepada konsekuensi untuk melaksanakan kitab Allah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.a. yang sahih, melaksanakan hukum dengan berpegang teguh kepada keduanya (Al-Quran dan As-Sunnah) dan tidak boleh mendahulukan pendapat orang atas keduanya (Al-Quran dan As-Sunnah).
Setakat ini jawaban kepada soalan pertama. Jawaban kepada soalan berikutnya pada posting akan datang, insyaAllah.