Wednesday, September 24, 2008

N45: ULAMAK MU'TABAR TENTANG GANGGUAN / BISING DI MASJID

Alhamdulillah, malam ini adalah malam ke 24 Ramadhan.

Seperti yang telah aku sebutkan sebelum ini Tuesday, September 9, 2008 bahawa masjid dan surau bulan Ramadhan bahkan sepanjang tahun mereka buat bid'ah dan jenayah kejiranan dengan pasang sound pembesar suara dengan kuat sehingga satu kampung mendengarnya, tanpa mempedulikan manusia nak tidur, berehat atau pun tanpa mempedulikan orang yang beriman beribadat di tengah malam.

Gejala sakit jiwa AJK masjid ini sudah berlaku banyak tahun. Sejak aku tinggal di Taman Melewar lagi, lebih 10 tahun dulu aku dah terasa terganggu dek perbuatan orang-orang bodoh itu.

Mereka pasang sound tarhim sebelum azan solat subuh, bacaan Al-Quran, nasyid dll. Malah selepas azan Subuh pun ada yang berdendang dengan entah apa-apa ban.

Sejak kira-kira 10 tahun lalu aku dah kumpulkan bahan ilmiah islam mengenai gangguan di masjid dan sudah aku tulis artikel dan terbitkan banyak kali. Kali terakhir aku terbitkan edisi yang diperbaiki pada bulan April 2008 lepas. Edisi-edisi yang aku telah terbitkan itu adalah terhad isinya kerana aku hanya menggunakan saiz kertas A3 atau A4. Ada banyak hujjah dari ulamak tidak aku masukkan dalam tulisan aku itu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini heboh mengenai petisyen penggunaan pembesar suara oleh masjid di Puchong oleh YB Teresa Kok sehingga beliau di tahan di bawah ISA. Dalam tulisan kali ini aku tidak berniat untuk membela YB Tersa Kok mengenai petisyen itu.

Alhamdulillah pada 16 September lalu telah terbit dalam TranungKite Online satu artikel dari Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin bertajuk "ISA Tidak Diperlukan Untuk Bela Ajaran Islam" Berikut adalah link artikel tersebut Tranungkite Online dan kemudian aku telah Postkan komen mengenai artikel tersebut, linknya seperti berikut Tranungkite Online
Berikut adalah komen aku itu (dalam tulisan BOLD) :
Saya sokong komen Dr Asri seperti berikut : "Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi." "Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja"

Memang benar, ulamak-ulamak sejak dari dulu sudah beri pandangan mengenai gangguanbising di masjid. Berikut saya beri beberapa senarai rujukan dan details nya akan saya beri kemudian insyaAllah :
(1) Komen dari Pengarang Al-Ibda' Syaikh Ali Mahfuz
(2) Komen dari pengrang Al-Iqna',
(3) Komen dari Imam Ibnul-Jauzi
(4) Komen dari Ibnul-Hajj dalam Al-Madkhal
(5) Komen dari Ibnul-'Imad Asy-Syafi'i
(6) 'Komen dari Imam Asy-Syafi'i' mengenai zikir jahar selepas solat dalam Al-Umm
(7) Komen dari Syaikh Zainuddin Al-Malibari Asy-Syafi'i
(8) Komen dari Imam As-Saiyid Sabiq
(9) Komen dari Imam Abdul Rahman Al-Jaziri
(10) Komen dari Sayid Al-Bakri Ibnu Saiyid Muhammad Syatha Ad-Dimyathi Asy-Syafi'i

Berikut adalah satu dari banyak hadis yang berkaitan ganggubising di masjid :
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa-i, Al-Baihaqi serta Al-Hakim yang menyatakan bahawa hadis ini adalah sah menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim. Hadis itu adalah seperti berikut : Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. beriktikaf di masjid, lalu beliau mendengar orang-orang mengeraskan suara dalam bacaan Al-Quran, maka beliau membuka tabir dan bersabda "Ingatlah bahawa kamu semua sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu MENGGANGGU sebahagian yang lain, dan janganlah pula sebahagian kamu MENGERASKAN SUARA mengatasi yang lain dalam bacaan Al-Quran."

AJK masjid terbabit memasang volume pembesar suara sangat kuat sehingga boleh di dengar lebih dari satu KM.
Di tempat saya, ada masjid/surau memainkan kaset/cd tarhim sebelum masuk waktu subuh, 'satu kampung' boleh dengar. Ini lagi satu perbuatan mereka yang tak mahu berfikir. Saya yang solat malam di akhir malam di rumah memang terganggu dengan bid'ah tarhim ini. Begitu juga selepas solat subuh ada si bengong tu baca Al-Quran dan zikir pakai pembesar suara, 'satu kampung' boleh dengar, dan ini pun mengganggu ibadah-ibadah saya selepas solat subuh. Sungguh sangat betul-betul tak patut orang-orang yang beribadah di rumah mendengar lantas terganggu dengan bunyi yang sangat kuat dari pembesar suara itu. Perbuatan mereka yang OBSES LOUDSPEAKER jelas haram kerana menyakiti orang-orang yang beriman tanpa kesalahan yang mereka lakukan. Perbuatan haram ini akan menjadi BID"AH apabila diniatkan sebagai ibadah untuk bertaqarrub kepada Allah.

Mengganggu manusia yang sedang tidur, berehat, belajar dan lain-lain perkara yang tidak menyalahi undang-undang.
Manusia-manusia terutama orang-orang yang beriman yang berada di dalam rumah sangat tak patut dipaksadengar apa-apa aktiviti di masjid seperti pengajian, tadarus dsb. Apa yang di dalam rumah adalah hak penghuninya yang tak boleh diganggugugat oleh sesiapa pun walaupun atas nama masjid. Dalam hal ini saya tidak masukkan AZAN SOLAT sebagai gangguan sekiranya diikuti satu atau dua adab yang akan saya terangkan di lain kesempatan insyaAllah.

Sekiranya AJK masjid/surau sangat teringin agar orang-orang di sekeliling masjid/surau agar dengar ceramah pengajian, maka hendaklah mereka mengajak jiran-jiran masjid/surau itu mendatangi masjid/surau, bukannya dengan secara biadap pasang loudspeaker dengan tersangat kuat sehingga sesiapa yang normal pendengarannya akan terasa sakit telinganya, bukan begini caranya. Mereka AJK masjid /surau bolehlah mengajak dengan hikmah dengan mendatangi rumah setiap jiran, ini cara lebih bertamadun, bukannya cara melontarkan suara dari jauh. Mendengar (terpaksa dengar) dari rumah dalam keadaan tidak menumpukan perhatian terhadap isi ceramah, akan membawa kepada salah dengar dan salah faham dan ini adalah sangat merbahaya.

AJK masjid/surau hendaklah membuat bancian setiap orang Islam di di sekeliling masjid/surau, dan selalu kemaskinikan data bancian itu. Ini adalah sebahagian daripada pengurusan bijak. Masjid boleh terbitkan BULETIN MASJID dan edarkan ke setiap rumah MUSLIMIN. Dengan cara ziarah dan edar buletin diharapkan semua orang islam akan dekat hatinya pada masjid dan selalu berjamaah di masjid.


Kemudian YB Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor telah quote tulisan komenku itu dalam BLOGnya. Berikut adalah link BLOG YB Dr Halimah itu :
N45: ULAMAK MU'TABAR TENTANG GANGGUAN / BISING DI MASJID
Kemudian aku telah tambahbaik lagi komen aku dalam Tranungkite Online itu dalam BLOG tersebut supaya lebih jelas. Berikut adalah komen tambahan dari aku dalam BLOG Yb Dr Halimah itu (dalam tuliasan BOLD) :

Alhamdulillah, saya telah sempat tulis details mengenai komen-komen ulama mengenai gangguan dari / di masjid. Berikut ialah keterangannya :

(1) Komen dari Pengarang Al-Ibda' Syaikh Ali Mahfuz.
“Di antara perkara-perkara bid’ah ialah membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat dengan suara keras sedangkan orang lain yang sedang berada di dalam masjid ada yang sedang rukuk, ada yang sedang sujud, ada yang sedang berzikir, ada yang sedang bertilawah dan ada yang sedang bertafakur. Hal ini tidak dibenarkan kerana :

(a) Mengganggu orang-orang yang sedang beribadat. Mengganggu orang-orang yang sedang beribadat haram hukumnya dengan ijma’.

(b) Mengangkat suara di dalam masjid tanpa hajat yang dikehendaki syarak dilarang. Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam kitab al-Muwattha’ bahawa Nabi pada satu hari masuk ke dalam masjid sedang sahabat lagi bersolat dengan mengeraskan bacaan, maka Nabi menegur mereka terhadap tindakan mereka yang demikian.

Dan diriwayatkan oleh Ibnul-Hajj dalam al-Madkhal, Bahawasanya Nabi pernah berkata kepada Ali : ‘Hai Ali janganlah engkau mengeraskan suara bacaan sedang orang lain masih bersolat kerana yang demikian mengganggu orang-orang yang sedang bersolat.”
(Saya belum tahu darjat hadis ini, wallahua’lam, walaubagaimana pun hadis ini semakna dengan hadis lain yang sah.

Ibnu-‘Imad asy-Syafi’i berkata :
“Diharamkan bacaan dengan mengeraskan suara yang dapat mengganggu orang-orang yang sedang bersolat.”

(c) Perbuatan yang demikian menyalahi apa yang berlaku di masa Nabi dan para sahabat.

(Amalan Bid’ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan, Dr. Abdul Ghani Azmi Bin Hj Idris)

(2) Komen dari pengarang Al-Iqna'
Bahawsanya mengumandangkan tasbih, nasyid dan doa dengan suara keras di menara-menara masjid sebelum fajar tidaklah disunatkan sama sekali. Tidak ada seorang ulamak pun yang menyukai demikian. Perbuatan itu termasuk bid’ah yang dibenci kerana yang demikian itu tidak dilakukan di masa Nabi s.a.w. dan tidak pula di masa sahabat-sahabatnya. Oleh sebab itu janganlah kita lakukan dan janganlah memberi upah (gaji) kepada orang yang melakukannya kerana yang demikian beerti menolong bid’ah.

(Pedoman Solat, ms 318, Prof. T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy)

(Amalan Bid’ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan, Dr. Abdul Ghani Azmi Bin Hj Idris)

(3) Komen dari Imam Ibnul-Jauzi dalam Talbis Iblis
Di antara pekerjaan-pekerjaan munkar ialah seseorang bangun di malam hari di menara-menara masjid lalu membaca zikir atau sesuatu surah al-Quran dengan suara yang keras lalu mengganggu manusia yang sedang tidur dan mengganggu bacaan orang-orang yang sedang bersolat tahajjud.

(Amalan Bid’ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan, Dr. Abdul Ghani Azmi Bin Hj Idris)

(4) Komen dari Imam Asy-Syafi'i' mengenai zikir jahar selepas solat dalam Al-Umm
Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir setelah selesai solat. Hendaklah mereka mengisrarkan (memperlahankan) zikir kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya, maka ketika itu dijaharkan zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari daripadanya, maka sesudah itu hendaklah ia israrkan.

(5) Komen dari Syaikh Zainuddin Al-Malibari Asy-Syafi'I dalam Fathul-Mu’in
Dan ada sebahagian ulama yang telah mengungkapkan pendapatnya atas terlarangnya mengeraskan suara bacaan al-Quran secara mutlak. Kerana masjid itu pada dasarnya diwakafkan untuk orang-orang yang solat, bukan untuk para juru dakwah dan para qari.

(Al-Hujajul Bayyinah, ms 358 & 359; K.H. Drs. Ahmad Dimiathi Badruzzaman)

(6) Komen dari Imam As-Saiyid Sabiq, dalam Fiqhus-Sunnah Jilid 1 Bab Mengeraskan Suara Dalam masjid
Mengeraskan suara sampai menyebabkan terganggu orang-orang yang sedang solat (di masjid) hukumnya haram, walaupun yang dibaca itu Al-Quran.

(7) Komen dari Imam Abdul Rahman Al-Jaziri dalam Al-Fiqhu ‘Alal-Mazahibil-Arba’ah Juz 1
Boleh mengajar ilmu, membaca Al-Quran, memberi ceramah dan memutus sesuatu hukum di masjid dengan menjaga tidak menimbulkan gangguan kepada orang-orang yang sedang solat, dengan kesepakatan pendapat ulama mujtahidin yang empat.

(8) Komen dari Sayid Al-Bakri Ibnu Saiyid Muhammad Syatha Ad-Dimyathi Asy-Syafi'I dalam I’anatut-Thalibin Hasyiah Fathul-Mu’in
Ucapan sebahagian ulama “secara mutlak (terlarangnya mengeraskan suara bacaan al-Quran secara mutlak di dalam masjid) artinya sama saja mengganggu kepada orang yang sedang solat atau pun tidak mengganggu, tetap terlarang.

(Al-Hujajul Bayyinah, ms 359; K.H. Drs. Ahmad Dimiathi Badruzzaman)

Berikut adalah DUA dari banyak hadis yang berkaitan ganggu / bising di masjid :
(1) Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa-i, Al-Baihaqi serta Al-Hakim yang menyatakan bahawa hadis ini adalah sah menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim :Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. beriktikaf di masjid, lalu beliau mendengar orang-orang mengeraskan suara dalam bacaan Al-Quran, maka beliau membuka tabir dan bersabda "Ingatlah bahawa kamu semua sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu MENGGANGGU sebahagian yang lain, dan janganlah pula sebahagian kamu MENGERASKAN SUARA mengatasi yang lain dalam bacaan Al-Quran."

(Fiqhus-Sunnah Jilid 1, Bab Mengeraskan Suara Dalam Masjid; As-Saiyid Sabiq)

(2) Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang sah : Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. pada suatu ketika pergi ke masjid. Didapatinya banyak orang bersolat dan banyak pula yang mengeraskan suara dalam membaca Al-Quran, maka sabdanya “Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang munajat dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka sepatutnya ia memerhatikan dengan apa yang dimunajatkan (dipercakapkan) itu. Dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara mengatasi yang lain dalam bacaaan Al-Quran.

(Fiqhus-Sunnah Jilid 1, Bab Mengeraskan Suara Dalam Masjid; As-Saiyid Sabiq)

Dari Ibnuhasan Al-Amin


Setakat ini tulisanku malam ini, nanti aku sambung lagi, insyaAllah.

Nota : Post ini ditulis pada malam 23 September 2008 hingga awal pagi 24 September 2008 dan edit pada dhuha 24 September 2008.

Thursday, September 18, 2008

Solat Tarawih Di Akhir Malam

Alhamdulillah, malam ini adalah malam ke 19 Ramadhan. Dalam entry sebelum ini aku ada sebut mengenai solat tarawih yang dilakukan di akhir malam adalah lebih baik dan lebih besar pahalanya. Berikut adalah dalilnya :

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Ibnu Khuzaimah, Al-Baihaqi dan lain-lain.

Abdul Rahman Bin Abdul Qari berkata :
“Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan saya keluar dengan ‘Umar ke masjid. Di situ sudah banyak orang-orang yang bersolat dengan terpencar-pencar, ada yang bersolat sendirian dan ada pula yang bersolat diikuti oleh orang banyak.

‘Umar lalu berkata : “Saya berpendapat alangkah baiknya kalau mereka itu dikumpulkan dengan mengikuti seorang imam. Saya rasa itu yang lebih utama.”

Lalu besok malamnya, dikumpulkan mereka dan sebagai imamnya ditunjukkan Ubay Bin Ka’ab. Pada suatu malam yang lain, saya keluar pula ke masjid dengan ‘Umar, sedang orang-orang yang banyak sedang bersolat mengikuti seorang imam sahaja. Di saat itu ‘Umar berkata : “Alangkah baiknya bid’ah seperti ini.
Tetapi orang-orang yang tidur untuk bersolat akhir malam nanti adalah lebih utama daripada orang-orang yang mengerjakannya sekarang.”

(Kitab Rujukan : Fikih Sunnah Jilid 2, Saiyid Sabiq. Alih Bahasa Oleh Mahyuddin Syaf, Cetakan ketiga 1982)

Aku berpegang dengan perkataan 'Umar di akhir hadis yang tersebut di atas.

Walaubagaimanapun berdasarkan keterangan-keterangan yang lain dari sumber yang lain dari kitab Fikih Sunnah bahawa para salaf dahulu mengerjakan solat tarawih di awal malam secara berjama'ah. Keterangan ini aku baru dapat siang tadi dari Majalah Al-Furqon. Hal ini perlu aku fikirkan. Solat tarawih yang dilakukan orang sekarang walaupun menyamai dari segi dilakukan diawal waktu, berjama'ah dan di masjid, tetapi mereka jauh dari mengikuti amalan para salaf dari segi ketepatan pengamalan sunnah Nabi s.a.w., seperti dari segi ketenangan, saf rapat dan saf lurus. Solat tarawih sekarang dilakukan dengan cepat-cepat tanpa ketenangan. Pergerakan antara rukun oleh imam solat tarawih cepat-cepat tanpa memerhatikan makmum dibelakangnya. Makmum akan tergocoh-gocoh untuk ikut pergerakan imam yang bodoh itu. Imam dan makmum tak pedulikan untuk merapatkan saf dan meluruskan saf. Selepas salam mereka menjerit-jerit dengan entah apa-apa bacaan dan solawat. Lafaz bacaan solawat yang dijerit itu pun tak betul.

Lafaz "bid'ah" pada perkataan 'Umar "Alangkah baiknya bid’ah seperti ini" adalah dengan makna dari segi lughawi bukannya dari segi makna hakiki. Ini telah diterangkan oleh ulama hadis dan bahasa arab. Solat tarawih berjama'ah bukan bid'ah dari segi hakiki kerana ia adalah sunnah yang pernah dikerjakan di zaman Nabi s.a.w. Untuk keterangan yang lebih baik boleh didapati dari kitab hadis dan syarahnya.

Untuk posting akan datang aku akan ceritakan mengenai hasil tulisan aku dalam BLOG lain yang di quote oleh seorang EXCO Kerajaan Negeri Selangor dalam BLOGnya. Ceritanya mengenai ganggu / bising di masjid.

Tuesday, September 9, 2008

Ramadhan

Alhamdulillah hari ini dah 9 hari kita berpuasa, tak terasa sangat masa berjalan. Ada 27 atau 26 hari lagi untuk menyempurnakan puasa tahun ini. Mengapa 27 atau 26 hari. Bukankah ada 21 atau 22 hari sahaja lagi? Sebagai orang beriman dan berilmu, kita kenalah fikir ke depan selepas puasa Ramadhan ini. Kenalah merancang untuk berpuasa selama 6 hari di bulan Syawwal nanti. Aku lebih suka berpuasa 6 hari di bulan Syawwal sebaik sahaja selepas 1 Syawwal, dan melakukannya 6 hari berturut-turut. Cara ini lebih mudah bagiku, dan dah banyak tahun aku beramal cara ini.

Tahun ini aku merasa lebih tenang dan lebih mudah berpuasa. Tidak seperti banyak tahun-tahun sebelum ini. Di tempat aku ini kalau ada jiran yang jahat, bila masuk Ramadhan terutama dah dekat raya maka kejahatannya bertambah, suka buat bising, pasang sound systemnya dengan kuat / sangat kuat tanpa mempedulikan jiran-jiran yang lain. Alhamdulillah, Allah dah halau mereka keluar dari perjiranan ini berkat doa dan usaha orang-orang yang teraniaya. Di masjid dan surau pun satu hal, bila masuk bulan Ramadhan atau dah dekat nak raya, mulalah mereka buat bid'ah dan jenayah kejiranan, pasang sound pembesar suara dengan kuat sehingga satu kampung mendengarnya, tanpa mempedulikan manusia nak tidur, berehat atau pun tanpa mempedulikan orang yang beriman beribadat di tengah malam. Beginilah terjadinya apabila orang-orang yang tidak berkelayakan lagi jahil goblok di berikan jawatan di masjid dan surau. Berbagai-bagi kesalahan yang menjolok mata dan telinga mereka lakukan, kononnya atas nama agama, padahal merekalah perosak masyarakat dan kemurnian agama ini.

Kesalahan adab dalam menggunakan pembesar suara ini bukan berlaku masa ramadhan sahaja, tetapi berlaku sepanjang tahun. Nanti aku akan tulis satu memorandum mengenai perkara ini insyaAllah, dan akan aku serahkan kepada masjid-masjid dan surau insyaAllah. Bahan-bahan tulisan ini dah ada, cuma nak ku susun supaya menjadi memorandum yang baik.

Solat tarawih!!! Aku buat di rumah sahaja, di akhir malam, (dekat waktu sahur / dekat jam 5 pagi). Ini lebih baik dan lebih besar pahalanya berdasarkan pendapat amirulmukminin 'Umar Ibnul-Khattab selepas memerintahkan seorang untuk menjadi imam solat tarawih berjamaah. Dah enam ke tujuh tahun dah aku buat seperti ini sejak 2001. Aku buat 8 rakaat dan 3 rakaat witir. Kerana ini sunnah dari Nabi s.a.w. dan bilangan rakaat (8 rakaat) ini yang mampu aku lakukan. Tarawih sebanyak 20 rakaat walaupun ada dalilnya, tapi aku tak mampu untuk mengamalkannya dengan tenang dan tepat, banyak sangat. Solat tarawih dengan tenang, bukannya dengan terburu-buru dan laju seperti yang berlaku di banyak masjid/surau. Aku boikot solat tarawih di surau secara berjamaah kerana banyak sungguh kesalahan kebid'ahan yang menyakitkan hati aku. Antaranya ialah solat dengan laju seolah-olah macam nak kejar sesuatu, tiada ketenangan, bising hingar-bingar. Kesalahan yang lain ialah orang-ramai bersolawat dengan menjerit-jerit dan lafaz ucapan solawat pun tak betul, tiada adab kesopanan langsung apabila berada di rumah Allah. Dan banyak lagi bid'ah atau yang menyalahi sunnah Nabi s.a.w. yang tak dapat aku tulis di sini.

Nanti aku sambung lagi.