Monday, April 14, 2008

AIRCON DI MASJID DAN SURAU

Sudah hampir sebulan tak menulis, bukannya kerana apa, cuma terkena SBT, Sidrom Berat Tangan (untuk menulis). Alhamdulillah hari ini dah ada keringanan sikit.

Tajuk kali ini adalah mengenai pengggunaan Aircon di masjid dan surau, pro dan kontra.

Mengapa aku tulis tajuk ini? Kerana prihatin mengenai keadaan dan pengurusan masjid dan surau, sebagai orang yang beriman kenalah ada rasa prihatin mengenai Islam dan apa-apa yang menyentuh mengenai Islam.

Sejak 10 tahun ini aku dapati beberapa surau di keliling tempat tinggalku di pinggir Ibukota telah menggunapakai aircon di dewan solat. Munkin pengurusan surau berniat untuk beri lebih keselesaan kepada jamaah solat. Memang terasa dingin. (Niat yang baik belum tentu mendatangkan kebaikan dan pahala. Matlamat tidak menghalalkan cara).

Sesungguhnya selesa dan dingin yang ada seperti yang aku saksikan ini adalah suatu yang merosakkan perpaduan Muslimin dan keindahan Islam itu. Mengapa? Kerana apabila aircon dihidupkan maka semua pintu di sekeliling dewan solat akan ditutup. Petugas surau bersungguh-sungguh menutup pintu-pintu itu. Dan ada yang menegur kalau ada ahli jamaah yang tidak menutup pintu apabila telah masuk ke dalam dewan solat. Semua ini adalah suatu yang fasad dan dosa.

Islam yang di bawakan oleh Rasulullah Muhammad s.a.w. telah wujud lebih 1428 tahun di muka bumi ini. Institusi masjid dan solat berjamaah telah di sunnahkan di Madinah. Kaum Muslimin bersemangat untuk bersolat fardhu berjamaah, masjid pun penuh dengan mereka yang menyahut panggilan azan. Tahukah kita bagaimana keadaan Masjid Nabi di Madinah kalau dibandingkan dengan keadaan masjid yang moden hari ini. Sungguh daif, tapi itulah masjid yang agung, yang dari situlah lahir pejuang dan pendakwah Islam yang bertebaran keseluruh pelusuk bumi. Islam telah sampai ke Tanah Melayu ini, mengikut satu riwayat pada abad ke 10 masihi. Masjid-masjid yang didirikan dari dahulu hinggalah ke hari ini adalah tanpa aircon. Tiada masalah apa-apa, dan tiada masalah ketidakselesaan beribadat didalamnya.

Aku tidak membantah penggunaan aircon pada dasarnya kerana tiada dalil syar'i mengharamkannya. Tetapi sesuatu yang halal akan bertukar hukumnya kepada haram atau makruh apabila adanya sebab-sebab tertentu yang mendatang.

Masjid dan surau adalah tempat ibadat untuk seluruh kaum muslimin dan muslimat, bukan dikhaskan untuk orang-orang tertentu. Kaum muslimin hendaklah BEBAS MASUK DAN KELUAR masjid setiap masa tanpa ada apa-apa halangan. Pemimpin masjid hendaklah sayugia sentiasa mengalu-alukan kehadiran kaum muslimin ke masjid, mengwujudkan halangan seperti menutup pintu-pintu dewan solat masjid dan mensyaratkan sentiasa ditutup adalah satu perbuatan yang menyusahkan kaum muslimin, ini tidak patut, ini adalah suatu kefasadan. Ini adalah suatu dosa, kerana menyakitkan orang-orang yang beriman tanpa apa-apa dosa yang mereka lakukan.

Pernah berlaku beberapa kali aku datang awal ke surau, aku telah membuka pintu-pintu dewan solat surau (Surau Al-Amin), sudah tentu kerana supaya kaum muslimin mudah dan senang masuk ke dalamnya. Tapi ada satu petugas surau ini yang jahil telah menghidupkan aircon dan menutup semua pintu-pintu yang telah aku buka itu. Aku yang sedang solat sunat merasa sangat terganggu akan perlakuan biadab ini. Aircon disurau ini telah dipasang kira-kira pada pertengahan tahun lepas.

Untuk renungan kita semua, kehadiran jamaah solat fardhu dimana-mana sahaja di negara kita secara umumnya adalah sangat sikit kalau dibandingkan dengan jumlah penduduk islam tempatan di sekeliling masjid. apakah yang dilakukan oleh pemimpin masjid untuk mengatasi sindrom ini. Apakah mereka melakukan kempen bersungguh-sungguh untuk mengajak kaum muslimin solat berjamaah di masjid??? Apakah mereka melakukan dakwah lisan dan tulisan kepada mereka??? Apa yang berlaku sekarang, 'lisanuhal pemimpin masjid' ialah kaum muslim tidak dialu-alukan ke masjid. Pintu pagar masjid selalu di tutup, kalau dibuka pun ia dibuka sikit sahaja bukannya dibuka sepenuhnya. Pintu dewan solat masjid disyaratkan sentiasa ditutup untuk keselesaan aircon segelintir orang yang tidak mengerti. (Sekiranya masjid tiada aircon) petugas masjid bersegera untuk menutupkunci pintu dewan solat selepas solat fardhu. Kita fikir-fikirkanlah, sikit yang datang itu tidak di alu-alukan, seolah-olah menyusahkan AJK masjid, seolah-olah masjid itu mereka yang punya.

Cadanganku untuk islahkan kerosakan ini ialah :
1) Setiap AJK masjid hendaklah orang yang tahu, mengerti dan faham akan fiqh masjid berdasarkan sunnah yang sahih. Sekiranya telah terlantik orang yang tidak seperti ini, maka hendaklah diwajibkan menghadiri kursus mengenai fiqh masjid. Pihak berkuasa atau persatuan ulama patut merangka dan menganjurkan kursus ini.
2) Dengan mengetahui fiqh sunnah sahih mengenai masjid, diharapkan dengan semangat taqwa kepada Allah, apa-apa yang menyalahi sunnah, ditiadakan; dan apa-apa sunnah yang ditinggalkan selama ini maka hendaklah dilaksanakan.

Wallahu a'lam.

Untuk posting akan datang aku bercadang untuk tulis mengenai family tree. Memang ini adalah 'interest'ku seperti terdapat dalam profile blog ini.