Sunday, October 26, 2008

ZIARAH ABAH DAN IMAM SUARA SANGAT KUAT

Alhamdulillah, tengahari tadi aku ke PJ nak jengok abahku*. sampai di sana aku tengok abah dah bersiap macam nak berjalan-jalan. Rupa-rupanya dia, dan Kak Lang dan Bang Lang nak ke kenduri kahwin anak Normah di Kajang. Normah adalah saudara sebelah abah melalui perkahwinan. Nanti aku ceritakan lebih lanjut mengenai dia ini. Oleh itu aku berada di sana kira-kira setengah jam sahaja. Selepas itu aku solat zuhur di Masjid Aminah SS2.

Di bawah ini aku ambil gambar abah, beberapa minit lagi nak berangkat ke Kajang. Inilah gambar pertama aku masukkan dalam blog setelah beli kamera digital bulan Ogos lalu. Kamera itu jenama GrandVision EZshot S700z, 7.0 MP, senang digunakan, setakat ini asas penggunaan kamera itu dah aku tahu.

NOTA : Pada 3:31 pm Ahad 25 November 2018 aku delete gambar yang dimaksudkan di parageraf di atas.


Selepas salam solat zuhur berjamaah tadi, imam solat tadi berzikir dengan sangat kuat, guna pembesar suara, sakit telinga aku. Zikir aku sungguh terganggu, solat yang lakukan selepas zikir di luar dewan solat itu pun sungguh terganggu. Memang sungguh biadap AJK masjid itu, tidak menghormati tetamu-tetamu Allah yang beribadat dalam masjid.

Selepas itu aku jumpa imam solat zuhur tadi. Aku katakan kepadanya bahawa dalam usul (fiqh) kita tidak boleh beramal / beribadah melainkan ada dalil (yang khusus). Dan mengenai zikir dan berdoa secara bersama-sama secara serentak atau mengaminkan secara serentak selepas solat jamaah, tidak ada dalil setahu aku. [Tidak ada hadisnya.]

Aku juga beritahunya bahawa zikir secara kuat itu mengikut fatwa Imam Asy-Syafi'i dalam kitab Al-Umm, bahawa seorang imam itu disukai memperlahankan (sirr) zikirnya, melainkan kalau mahu mengajar (makmum). Sekiranya imam itu rasa orang dah faham maka dia hendaklah memperlahankan semula zikirnya itu; begitu juga pendapat Imam Nawawi. Aku beritahu dia walaupun dia ikut pendapat Imam Asy-Syafi'i itu, penggunaan pembesar suara dengan volume yang sangat kuat, adalah satu perbuatan yang salah. Aku sebutkan maksud hadis riwayat Imam Ahmad mengenai larangan Rasulullah s.a.w.a. daripada mengganggu orang yang sedang solat di masjid. Imam muda tadi kata memang suaranya kuat, tetapi yang sound pembesar suara itu bukan dia yang control. Imam muda itu kata dia akan tanya ustaz (yang lain) mengenai apa yang aku katakan kepadanya tadi.

* Baba bin Zakaria bin Hasan.