Sunday, September 20, 2009

UCAPAN SEMASA BERTEMU PADA HARI 'ID AL-FITHRI عيد الفطر

Sudah menjadi tradisi di negara kita bahawa apabila bertemu pada hari Raya, masing-masing saling mengucapkan "Selamat Hari Raya" dan "Ma'af Zahir Batin". Ucapan-ucapan ini sebenarnya tiada asalnya dari sunnah Nabi صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ.

Sunnah Nabi صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ telah mengajarkan bahawa ucapan apabila bertemu pada hari 'Id ialah

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ


Berikut ialah dalilnya :


Dari Jubair Bin Nafir, katanya : “ Apabila sahabat-sahabat Rasulullah صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ bertemu pada hari 'Id, sebahagian mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain :

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ

“Semoga Allah menerima (amal) kami dan (amal) kamu.”

Menurut Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqolani bahawa hadith ini isnadnya hasan.

(Fiqh As-Sunnah, As-Saiyid Sabiq, Bab Sunat Mengucapkan Selamat Hari Raya)


Sangat-sangatlah jarang saya mendengar ucapan sunnah ini walaupun dari mulut ustaz-ustaz.

Memang sungguh, sunnah ini adalah sunnah telah ditinggalkan سنة متروكة

Friday, July 24, 2009

BLOG BARU : KITAB-KITAB ISLAM

Pada hari Rabu 15 Julai 2009 lalu aku buat satu BLOG baru. Isi blog ini ialah mengenai tajuk-tajuk dan gambar-gambar kitab-kitab Islam terutama kitab asas Islam iaitu kitab mengenai Al-Quran dan Al-Hadith dan segala ilmu yang berkaitan dengannya.

Dengan menggunakan kamera digital aku tu aku ambil gambar-gambar kitab itu. Buat permulaan aku masukkan gambar kitab hadith, baru masuk gambar saja, belum masukkan captionnya. Contohnya seperti ini

Wednesday, June 10, 2009

Alhamdulillah pada hari Sabtu 6 Jun 2009 lepas aku dah selamat pindah ke rumah baru. Sebahagian besar barang-barang aku diangkut dengan lori pada hari ini dan baki barang-barang diangkut dengan kenderaan aku sendiri pada hari berikutnya. Rumah lama telah aku duduk selama 96 bulan sejak 6 Jun 2001.


Papan tanda di simpang nak masuk ke rumah aku.


Ini nama jalan di rumah baru aku.


Lori yang angkut pindah barang-barang aku di rumah lama.


Lori yang angkut pindah barang-barang aku di rumah lama. Kelihatan tiga orang pekerja angkut barang. Upah pengangkutan lori satu trip dan tiga pekerja ialah Rm150.00.

Tuesday, April 7, 2009

Mini Reunion Sekolah Rendah 1969 - 3

Aku terpaksa balik awal pukul 5.30 petang itu kerana aku perlu sampai ke rumah sebelum maghrib. Aku perlu amalkan zikir waktu 'asar yang diambil dari hadis Nabi s.a.w.a. yang telah aku amalkan sekian lama. Satu zikir yang diriwayatkan dari Abu Dardak supaya terhindar dari musibah seperti terbakar rumah dan satu lagi zikir untuk menolak sihir dengan membaca tiga QUL sebanyak tiga kali. Amalan zikir tersebut boleh diamalkan dimana-mana, di warong, di padang di atas kenderaan dsb, tetapi aku lebih suka mengamalkannya dalam keadaan tenang di rumah.
Selepas aku beredar, datang Suraiya Md Noor dan Muhamad.

Di bawah ialah gambar Kelas 3A Sekolah Rendah Khir Johari tahun 1971. Gambar ini aku ambil dari http://sgsumun2telukintan.ning.com/
(link ini sudah tak boleh dipakai, minta maaf, komen ini dibuat pada Sabtu, 16 November 2013)

Aku ada sekeping gambar ini tapi belum dimasukkan ke komputer untuk di upload ke website. Aku yang berdiri nombor dua dari kanan.


Sekian.

NOTA : Pada 3:45 pm Ahad 25 November 2018 aku delete gambar Kelas 3A yang aku ceritakan di atas.

Sunday, April 5, 2009

"Mini Reunion SRKJ 1969 : 1

Lama betul tak menulis, lima bulan lebih.

Semalam hari Sabtu 4 April 2009 aku pergi ke Putrajaya. Selepas selesai kerja profesionalku tengahari itu aku bertolak ke sana melalui Maju Expressway yang baru di buka pada Disember 2007. Perjalanan yang selesa dan aku berhenti sekejap di R&R Seri Kembangan. Hanya ada satu sahaja R&R di laluan ke Putrajaya.

Tujuan utama aku ke sana ialah untuk "reunion" dengan rakan sekolah rendahku di Perak iaitu Sekolah Rendah Khir Johari, Sungai Sumun, Hutan Melintang. Pada minggu lepas semasa aku buat Google search mengenai rakan sekolah ini aku terjumpa satu website/blog mengenai himpunan bekas pelajar Sekolah Rendah Khir Johari Sungai Sumun (1969 - 1974), Sekolah Menengah Khir Johari (1975 - 1979), Sekolah Menengah Selekoh (1974 - 1977) dan Sekolah Menengah Seri Perak (1980 - 1981). Aku pun terus sign-up sebagai ahli. Kalau tak silap aku aku ahli yang ke 25. Website ini telah diusahakan oleh Saudara Syed Zulkifli bin Syed Masir, classmate aku semasa darjah 3A tahun 1971.

Sambil reunion aku ingin nak melihat Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia ini. Sebelum ini tak pernah aku sampai ke Pusat Putrajaya ini. Sebelum wujud Putrajaya aku pernah ke tempat ini yang bernama Prang Besar.

Aku berniat nak solat zuhur di Masjid Putra. Sampai sana sudah pukul satu dan hujan gerimis sedikit. Dari jauh, beberapa kilometer, aku dah nampak masjid itu. Tapi aku tersesat jalan ke masjid ini empat kali dengan tiga kali aku bertanya orang. Aku telah tersalah masuk jalan. Sehingga sudah hampir ke masjid itu kira-kira setengah kilometer pun aku tersalah masuk jalan. Kerana sesat jalan ini walaupun sudah hampir sampai ke destinasi aku telah terlepas solat zuhur berjamaah.

Ini semua gara-gara ketidakcerdikan pentadbir bandar ini kerana tidak meletakkan papan- tanda petunjuk jalan arah ke bangunan masjid yang sangat penting ini. Aku perhatikan untuk bangunan-bangunan penting yang lain dan destinasi pelancongan yang penting ada papan-tanda petunjuk arah. Tetapi mengapa untuk ke masjid tiada satu pun papan-tanda petunjuk arah? Sungguh mengheran, kerajaan BN yang berbangga dengan Islam Hadhari tidak merasa penting untuk mengadakan papan-tanda arah ke masjid. Ini sangat dikesalkan.

Akhirnya aku sampai juga ke Masjid Putra dan solat di dalamnya. Satu yang unik mengenai masjid ini ialah suara sirr atau perlahan semasa aku baca dalam solat terasa "kuat" bunyinya. Berbanding dengan masjid-masjid yang lain suara sirr aku tenggelam, ini boleh jadi disebabkan oleh pencemaran bunyi ataupun bahan binaan dan architecture-nya yang tak mesra telinga muslim. Peraturan masjid ini yang melarang pemakaian sebarang alas kaki untuk masuk ke tandas adalah satu tindakan yang bodoh, kerana tandas adalah tempat kotor dan lantai tandas sudah sayugianya kotor maka pemakaian alas kaki adalah suatu yang sungguh bijak. Di tandas masjid ini tidak ada kemudahan untuk basuh kaki sebelum keluar dari tandas. Yang aku nampak ada dua paip yang sudah rosak di pintu masuk tandas itu.

Selepas aku solat aku pun berjalan ke Souk, tempat pertemuan reunion itu. Kompleks Souk ini terletak bersebelahan Masjid Putra.

Nanti besok aku sambung tulis mengenai reunion itu, insyaAllah.