Monday, October 27, 2008

ZIARAH PAK LANG MOHAMMAD

Alhamdulillah, siang tadi aku telah ziarah Pak Lang Mohammad di Kampung Pandan Dalam. Aku dah ceritakan mengenai Pak Lang ini dalam posting aku pada Ahad, 15 Jun 2008. Petikan dari posting itu seprti berikut :

Satu maklumat penting yang aku dengar dari Pak Lang Mohammad, yang tak pernah aku dengar sebelum ini ialah "Long" bapa kepada Pak Lang Mohammad, juga bapa kepada makku yang juga datok kepadaku sebenarnya berasal dari SETUL, selatan Siam, dekat dengan Perlis.

Tengahari tadi aku bawa isu ini kepadanya dan dia telah menceritakan yang lain daripada yang telah diberitahu kepada ku sebelum ini. Kisahnya seperti berikut : Bapa kepada LONG bernama MAKMUL.
MAKMUL ada seorang adik beradik bernama JAWI.
MAKMUL dan JAWI telah pergi ke Kedah mengaji pondok. Kemudian JAWI telah kahwin dengan seorang wanita dari Setul, dan mereka telah menetap di utara sana. Ada seorang keturunan dari JAWI dan wanita Setul itu, seorang peguam, telah datang ke Negeri Sembilan untuk mencari saudara-saudaranya. Setelah bersusah payah berdasarkan maklumat yang dia ada, peguam itu telah jumpa sanak saudaranya, termasuk Pak Ngah Tambi dan Pak Lang Mohammad.

Begitulah kisahnya. Dan Pak Lang kata dia sekarang tak tahu mengenai maklumat peguam itu. Sudah terputus hubunganlah.

Munkin Pak Ngah Tambi ada maklumat mengenai keturunan JAWI dan wanita Setul itu di Setul selatan Siam. Nanti aku jumpa Pak Ngah Tambi aku akan tanya dia mengenai hal ini, insyaAllah.

Ada beberapa maklumat lagi yang akan aku ceritakan di lain masa, insyaAllah.

Aku rasa aku nak buat satu lagi BLOG mengenai KETURUNAN MAKMUL, MOYANGKU. Tidaklah berkongsi BLOG dengan SILSILAH BANI HASAN REMBAU.

Sunday, October 26, 2008

ZIARAH ABAH DAN IMAM SUARA SANGAT KUAT

Alhamdulillah, tengahari tadi aku ke PJ nak jengok abahku*. sampai di sana aku tengok abah dah bersiap macam nak berjalan-jalan. Rupa-rupanya dia, dan Kak Lang dan Bang Lang nak ke kenduri kahwin anak Normah di Kajang. Normah adalah saudara sebelah abah melalui perkahwinan. Nanti aku ceritakan lebih lanjut mengenai dia ini. Oleh itu aku berada di sana kira-kira setengah jam sahaja. Selepas itu aku solat zuhur di Masjid Aminah SS2.

Di bawah ini aku ambil gambar abah, beberapa minit lagi nak berangkat ke Kajang. Inilah gambar pertama aku masukkan dalam blog setelah beli kamera digital bulan Ogos lalu. Kamera itu jenama GrandVision EZshot S700z, 7.0 MP, senang digunakan, setakat ini asas penggunaan kamera itu dah aku tahu.

NOTA : Pada 3:31 pm Ahad 25 November 2018 aku delete gambar yang dimaksudkan di parageraf di atas.


Selepas salam solat zuhur berjamaah tadi, imam solat tadi berzikir dengan sangat kuat, guna pembesar suara, sakit telinga aku. Zikir aku sungguh terganggu, solat yang lakukan selepas zikir di luar dewan solat itu pun sungguh terganggu. Memang sungguh biadap AJK masjid itu, tidak menghormati tetamu-tetamu Allah yang beribadat dalam masjid.

Selepas itu aku jumpa imam solat zuhur tadi. Aku katakan kepadanya bahawa dalam usul (fiqh) kita tidak boleh beramal / beribadah melainkan ada dalil (yang khusus). Dan mengenai zikir dan berdoa secara bersama-sama secara serentak atau mengaminkan secara serentak selepas solat jamaah, tidak ada dalil setahu aku. [Tidak ada hadisnya.]

Aku juga beritahunya bahawa zikir secara kuat itu mengikut fatwa Imam Asy-Syafi'i dalam kitab Al-Umm, bahawa seorang imam itu disukai memperlahankan (sirr) zikirnya, melainkan kalau mahu mengajar (makmum). Sekiranya imam itu rasa orang dah faham maka dia hendaklah memperlahankan semula zikirnya itu; begitu juga pendapat Imam Nawawi. Aku beritahu dia walaupun dia ikut pendapat Imam Asy-Syafi'i itu, penggunaan pembesar suara dengan volume yang sangat kuat, adalah satu perbuatan yang salah. Aku sebutkan maksud hadis riwayat Imam Ahmad mengenai larangan Rasulullah s.a.w.a. daripada mengganggu orang yang sedang solat di masjid. Imam muda tadi kata memang suaranya kuat, tetapi yang sound pembesar suara itu bukan dia yang control. Imam muda itu kata dia akan tanya ustaz (yang lain) mengenai apa yang aku katakan kepadanya tadi.

* Baba bin Zakaria bin Hasan.

Wednesday, September 24, 2008

N45: ULAMAK MU'TABAR TENTANG GANGGUAN / BISING DI MASJID

Alhamdulillah, malam ini adalah malam ke 24 Ramadhan.

Seperti yang telah aku sebutkan sebelum ini Tuesday, September 9, 2008 bahawa masjid dan surau bulan Ramadhan bahkan sepanjang tahun mereka buat bid'ah dan jenayah kejiranan dengan pasang sound pembesar suara dengan kuat sehingga satu kampung mendengarnya, tanpa mempedulikan manusia nak tidur, berehat atau pun tanpa mempedulikan orang yang beriman beribadat di tengah malam.

Gejala sakit jiwa AJK masjid ini sudah berlaku banyak tahun. Sejak aku tinggal di Taman Melewar lagi, lebih 10 tahun dulu aku dah terasa terganggu dek perbuatan orang-orang bodoh itu.

Mereka pasang sound tarhim sebelum azan solat subuh, bacaan Al-Quran, nasyid dll. Malah selepas azan Subuh pun ada yang berdendang dengan entah apa-apa ban.

Sejak kira-kira 10 tahun lalu aku dah kumpulkan bahan ilmiah islam mengenai gangguan di masjid dan sudah aku tulis artikel dan terbitkan banyak kali. Kali terakhir aku terbitkan edisi yang diperbaiki pada bulan April 2008 lepas. Edisi-edisi yang aku telah terbitkan itu adalah terhad isinya kerana aku hanya menggunakan saiz kertas A3 atau A4. Ada banyak hujjah dari ulamak tidak aku masukkan dalam tulisan aku itu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini heboh mengenai petisyen penggunaan pembesar suara oleh masjid di Puchong oleh YB Teresa Kok sehingga beliau di tahan di bawah ISA. Dalam tulisan kali ini aku tidak berniat untuk membela YB Tersa Kok mengenai petisyen itu.

Alhamdulillah pada 16 September lalu telah terbit dalam TranungKite Online satu artikel dari Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin bertajuk "ISA Tidak Diperlukan Untuk Bela Ajaran Islam" Berikut adalah link artikel tersebut Tranungkite Online dan kemudian aku telah Postkan komen mengenai artikel tersebut, linknya seperti berikut Tranungkite Online
Berikut adalah komen aku itu (dalam tulisan BOLD) :
Saya sokong komen Dr Asri seperti berikut : "Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi." "Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja"

Memang benar, ulamak-ulamak sejak dari dulu sudah beri pandangan mengenai gangguanbising di masjid. Berikut saya beri beberapa senarai rujukan dan details nya akan saya beri kemudian insyaAllah :
(1) Komen dari Pengarang Al-Ibda' Syaikh Ali Mahfuz
(2) Komen dari pengrang Al-Iqna',
(3) Komen dari Imam Ibnul-Jauzi
(4) Komen dari Ibnul-Hajj dalam Al-Madkhal
(5) Komen dari Ibnul-'Imad Asy-Syafi'i
(6) 'Komen dari Imam Asy-Syafi'i' mengenai zikir jahar selepas solat dalam Al-Umm
(7) Komen dari Syaikh Zainuddin Al-Malibari Asy-Syafi'i
(8) Komen dari Imam As-Saiyid Sabiq
(9) Komen dari Imam Abdul Rahman Al-Jaziri
(10) Komen dari Sayid Al-Bakri Ibnu Saiyid Muhammad Syatha Ad-Dimyathi Asy-Syafi'i

Berikut adalah satu dari banyak hadis yang berkaitan ganggubising di masjid :
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa-i, Al-Baihaqi serta Al-Hakim yang menyatakan bahawa hadis ini adalah sah menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim. Hadis itu adalah seperti berikut : Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. beriktikaf di masjid, lalu beliau mendengar orang-orang mengeraskan suara dalam bacaan Al-Quran, maka beliau membuka tabir dan bersabda "Ingatlah bahawa kamu semua sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu MENGGANGGU sebahagian yang lain, dan janganlah pula sebahagian kamu MENGERASKAN SUARA mengatasi yang lain dalam bacaan Al-Quran."

AJK masjid terbabit memasang volume pembesar suara sangat kuat sehingga boleh di dengar lebih dari satu KM.
Di tempat saya, ada masjid/surau memainkan kaset/cd tarhim sebelum masuk waktu subuh, 'satu kampung' boleh dengar. Ini lagi satu perbuatan mereka yang tak mahu berfikir. Saya yang solat malam di akhir malam di rumah memang terganggu dengan bid'ah tarhim ini. Begitu juga selepas solat subuh ada si bengong tu baca Al-Quran dan zikir pakai pembesar suara, 'satu kampung' boleh dengar, dan ini pun mengganggu ibadah-ibadah saya selepas solat subuh. Sungguh sangat betul-betul tak patut orang-orang yang beribadah di rumah mendengar lantas terganggu dengan bunyi yang sangat kuat dari pembesar suara itu. Perbuatan mereka yang OBSES LOUDSPEAKER jelas haram kerana menyakiti orang-orang yang beriman tanpa kesalahan yang mereka lakukan. Perbuatan haram ini akan menjadi BID"AH apabila diniatkan sebagai ibadah untuk bertaqarrub kepada Allah.

Mengganggu manusia yang sedang tidur, berehat, belajar dan lain-lain perkara yang tidak menyalahi undang-undang.
Manusia-manusia terutama orang-orang yang beriman yang berada di dalam rumah sangat tak patut dipaksadengar apa-apa aktiviti di masjid seperti pengajian, tadarus dsb. Apa yang di dalam rumah adalah hak penghuninya yang tak boleh diganggugugat oleh sesiapa pun walaupun atas nama masjid. Dalam hal ini saya tidak masukkan AZAN SOLAT sebagai gangguan sekiranya diikuti satu atau dua adab yang akan saya terangkan di lain kesempatan insyaAllah.

Sekiranya AJK masjid/surau sangat teringin agar orang-orang di sekeliling masjid/surau agar dengar ceramah pengajian, maka hendaklah mereka mengajak jiran-jiran masjid/surau itu mendatangi masjid/surau, bukannya dengan secara biadap pasang loudspeaker dengan tersangat kuat sehingga sesiapa yang normal pendengarannya akan terasa sakit telinganya, bukan begini caranya. Mereka AJK masjid /surau bolehlah mengajak dengan hikmah dengan mendatangi rumah setiap jiran, ini cara lebih bertamadun, bukannya cara melontarkan suara dari jauh. Mendengar (terpaksa dengar) dari rumah dalam keadaan tidak menumpukan perhatian terhadap isi ceramah, akan membawa kepada salah dengar dan salah faham dan ini adalah sangat merbahaya.

AJK masjid/surau hendaklah membuat bancian setiap orang Islam di di sekeliling masjid/surau, dan selalu kemaskinikan data bancian itu. Ini adalah sebahagian daripada pengurusan bijak. Masjid boleh terbitkan BULETIN MASJID dan edarkan ke setiap rumah MUSLIMIN. Dengan cara ziarah dan edar buletin diharapkan semua orang islam akan dekat hatinya pada masjid dan selalu berjamaah di masjid.


Kemudian YB Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor telah quote tulisan komenku itu dalam BLOGnya. Berikut adalah link BLOG YB Dr Halimah itu :
N45: ULAMAK MU'TABAR TENTANG GANGGUAN / BISING DI MASJID
Kemudian aku telah tambahbaik lagi komen aku dalam Tranungkite Online itu dalam BLOG tersebut supaya lebih jelas. Berikut adalah komen tambahan dari aku dalam BLOG Yb Dr Halimah itu (dalam tuliasan BOLD) :

Alhamdulillah, saya telah sempat tulis details mengenai komen-komen ulama mengenai gangguan dari / di masjid. Berikut ialah keterangannya :

(1) Komen dari Pengarang Al-Ibda' Syaikh Ali Mahfuz.
“Di antara perkara-perkara bid’ah ialah membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat dengan suara keras sedangkan orang lain yang sedang berada di dalam masjid ada yang sedang rukuk, ada yang sedang sujud, ada yang sedang berzikir, ada yang sedang bertilawah dan ada yang sedang bertafakur. Hal ini tidak dibenarkan kerana :

(a) Mengganggu orang-orang yang sedang beribadat. Mengganggu orang-orang yang sedang beribadat haram hukumnya dengan ijma’.

(b) Mengangkat suara di dalam masjid tanpa hajat yang dikehendaki syarak dilarang. Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam kitab al-Muwattha’ bahawa Nabi pada satu hari masuk ke dalam masjid sedang sahabat lagi bersolat dengan mengeraskan bacaan, maka Nabi menegur mereka terhadap tindakan mereka yang demikian.

Dan diriwayatkan oleh Ibnul-Hajj dalam al-Madkhal, Bahawasanya Nabi pernah berkata kepada Ali : ‘Hai Ali janganlah engkau mengeraskan suara bacaan sedang orang lain masih bersolat kerana yang demikian mengganggu orang-orang yang sedang bersolat.”
(Saya belum tahu darjat hadis ini, wallahua’lam, walaubagaimana pun hadis ini semakna dengan hadis lain yang sah.

Ibnu-‘Imad asy-Syafi’i berkata :
“Diharamkan bacaan dengan mengeraskan suara yang dapat mengganggu orang-orang yang sedang bersolat.”

(c) Perbuatan yang demikian menyalahi apa yang berlaku di masa Nabi dan para sahabat.

(Amalan Bid’ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan, Dr. Abdul Ghani Azmi Bin Hj Idris)

(2) Komen dari pengarang Al-Iqna'
Bahawsanya mengumandangkan tasbih, nasyid dan doa dengan suara keras di menara-menara masjid sebelum fajar tidaklah disunatkan sama sekali. Tidak ada seorang ulamak pun yang menyukai demikian. Perbuatan itu termasuk bid’ah yang dibenci kerana yang demikian itu tidak dilakukan di masa Nabi s.a.w. dan tidak pula di masa sahabat-sahabatnya. Oleh sebab itu janganlah kita lakukan dan janganlah memberi upah (gaji) kepada orang yang melakukannya kerana yang demikian beerti menolong bid’ah.

(Pedoman Solat, ms 318, Prof. T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy)

(Amalan Bid’ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan, Dr. Abdul Ghani Azmi Bin Hj Idris)

(3) Komen dari Imam Ibnul-Jauzi dalam Talbis Iblis
Di antara pekerjaan-pekerjaan munkar ialah seseorang bangun di malam hari di menara-menara masjid lalu membaca zikir atau sesuatu surah al-Quran dengan suara yang keras lalu mengganggu manusia yang sedang tidur dan mengganggu bacaan orang-orang yang sedang bersolat tahajjud.

(Amalan Bid’ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan, Dr. Abdul Ghani Azmi Bin Hj Idris)

(4) Komen dari Imam Asy-Syafi'i' mengenai zikir jahar selepas solat dalam Al-Umm
Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir setelah selesai solat. Hendaklah mereka mengisrarkan (memperlahankan) zikir kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya, maka ketika itu dijaharkan zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari daripadanya, maka sesudah itu hendaklah ia israrkan.

(5) Komen dari Syaikh Zainuddin Al-Malibari Asy-Syafi'I dalam Fathul-Mu’in
Dan ada sebahagian ulama yang telah mengungkapkan pendapatnya atas terlarangnya mengeraskan suara bacaan al-Quran secara mutlak. Kerana masjid itu pada dasarnya diwakafkan untuk orang-orang yang solat, bukan untuk para juru dakwah dan para qari.

(Al-Hujajul Bayyinah, ms 358 & 359; K.H. Drs. Ahmad Dimiathi Badruzzaman)

(6) Komen dari Imam As-Saiyid Sabiq, dalam Fiqhus-Sunnah Jilid 1 Bab Mengeraskan Suara Dalam masjid
Mengeraskan suara sampai menyebabkan terganggu orang-orang yang sedang solat (di masjid) hukumnya haram, walaupun yang dibaca itu Al-Quran.

(7) Komen dari Imam Abdul Rahman Al-Jaziri dalam Al-Fiqhu ‘Alal-Mazahibil-Arba’ah Juz 1
Boleh mengajar ilmu, membaca Al-Quran, memberi ceramah dan memutus sesuatu hukum di masjid dengan menjaga tidak menimbulkan gangguan kepada orang-orang yang sedang solat, dengan kesepakatan pendapat ulama mujtahidin yang empat.

(8) Komen dari Sayid Al-Bakri Ibnu Saiyid Muhammad Syatha Ad-Dimyathi Asy-Syafi'I dalam I’anatut-Thalibin Hasyiah Fathul-Mu’in
Ucapan sebahagian ulama “secara mutlak (terlarangnya mengeraskan suara bacaan al-Quran secara mutlak di dalam masjid) artinya sama saja mengganggu kepada orang yang sedang solat atau pun tidak mengganggu, tetap terlarang.

(Al-Hujajul Bayyinah, ms 359; K.H. Drs. Ahmad Dimiathi Badruzzaman)

Berikut adalah DUA dari banyak hadis yang berkaitan ganggu / bising di masjid :
(1) Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa-i, Al-Baihaqi serta Al-Hakim yang menyatakan bahawa hadis ini adalah sah menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim :Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. beriktikaf di masjid, lalu beliau mendengar orang-orang mengeraskan suara dalam bacaan Al-Quran, maka beliau membuka tabir dan bersabda "Ingatlah bahawa kamu semua sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu MENGGANGGU sebahagian yang lain, dan janganlah pula sebahagian kamu MENGERASKAN SUARA mengatasi yang lain dalam bacaan Al-Quran."

(Fiqhus-Sunnah Jilid 1, Bab Mengeraskan Suara Dalam Masjid; As-Saiyid Sabiq)

(2) Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang sah : Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. pada suatu ketika pergi ke masjid. Didapatinya banyak orang bersolat dan banyak pula yang mengeraskan suara dalam membaca Al-Quran, maka sabdanya “Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang munajat dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka sepatutnya ia memerhatikan dengan apa yang dimunajatkan (dipercakapkan) itu. Dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara mengatasi yang lain dalam bacaaan Al-Quran.

(Fiqhus-Sunnah Jilid 1, Bab Mengeraskan Suara Dalam Masjid; As-Saiyid Sabiq)

Dari Ibnuhasan Al-Amin


Setakat ini tulisanku malam ini, nanti aku sambung lagi, insyaAllah.

Nota : Post ini ditulis pada malam 23 September 2008 hingga awal pagi 24 September 2008 dan edit pada dhuha 24 September 2008.

Thursday, September 18, 2008

Solat Tarawih Di Akhir Malam

Alhamdulillah, malam ini adalah malam ke 19 Ramadhan. Dalam entry sebelum ini aku ada sebut mengenai solat tarawih yang dilakukan di akhir malam adalah lebih baik dan lebih besar pahalanya. Berikut adalah dalilnya :

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Ibnu Khuzaimah, Al-Baihaqi dan lain-lain.

Abdul Rahman Bin Abdul Qari berkata :
“Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan saya keluar dengan ‘Umar ke masjid. Di situ sudah banyak orang-orang yang bersolat dengan terpencar-pencar, ada yang bersolat sendirian dan ada pula yang bersolat diikuti oleh orang banyak.

‘Umar lalu berkata : “Saya berpendapat alangkah baiknya kalau mereka itu dikumpulkan dengan mengikuti seorang imam. Saya rasa itu yang lebih utama.”

Lalu besok malamnya, dikumpulkan mereka dan sebagai imamnya ditunjukkan Ubay Bin Ka’ab. Pada suatu malam yang lain, saya keluar pula ke masjid dengan ‘Umar, sedang orang-orang yang banyak sedang bersolat mengikuti seorang imam sahaja. Di saat itu ‘Umar berkata : “Alangkah baiknya bid’ah seperti ini.
Tetapi orang-orang yang tidur untuk bersolat akhir malam nanti adalah lebih utama daripada orang-orang yang mengerjakannya sekarang.”

(Kitab Rujukan : Fikih Sunnah Jilid 2, Saiyid Sabiq. Alih Bahasa Oleh Mahyuddin Syaf, Cetakan ketiga 1982)

Aku berpegang dengan perkataan 'Umar di akhir hadis yang tersebut di atas.

Walaubagaimanapun berdasarkan keterangan-keterangan yang lain dari sumber yang lain dari kitab Fikih Sunnah bahawa para salaf dahulu mengerjakan solat tarawih di awal malam secara berjama'ah. Keterangan ini aku baru dapat siang tadi dari Majalah Al-Furqon. Hal ini perlu aku fikirkan. Solat tarawih yang dilakukan orang sekarang walaupun menyamai dari segi dilakukan diawal waktu, berjama'ah dan di masjid, tetapi mereka jauh dari mengikuti amalan para salaf dari segi ketepatan pengamalan sunnah Nabi s.a.w., seperti dari segi ketenangan, saf rapat dan saf lurus. Solat tarawih sekarang dilakukan dengan cepat-cepat tanpa ketenangan. Pergerakan antara rukun oleh imam solat tarawih cepat-cepat tanpa memerhatikan makmum dibelakangnya. Makmum akan tergocoh-gocoh untuk ikut pergerakan imam yang bodoh itu. Imam dan makmum tak pedulikan untuk merapatkan saf dan meluruskan saf. Selepas salam mereka menjerit-jerit dengan entah apa-apa bacaan dan solawat. Lafaz bacaan solawat yang dijerit itu pun tak betul.

Lafaz "bid'ah" pada perkataan 'Umar "Alangkah baiknya bid’ah seperti ini" adalah dengan makna dari segi lughawi bukannya dari segi makna hakiki. Ini telah diterangkan oleh ulama hadis dan bahasa arab. Solat tarawih berjama'ah bukan bid'ah dari segi hakiki kerana ia adalah sunnah yang pernah dikerjakan di zaman Nabi s.a.w. Untuk keterangan yang lebih baik boleh didapati dari kitab hadis dan syarahnya.

Untuk posting akan datang aku akan ceritakan mengenai hasil tulisan aku dalam BLOG lain yang di quote oleh seorang EXCO Kerajaan Negeri Selangor dalam BLOGnya. Ceritanya mengenai ganggu / bising di masjid.

Tuesday, September 9, 2008

Ramadhan

Alhamdulillah hari ini dah 9 hari kita berpuasa, tak terasa sangat masa berjalan. Ada 27 atau 26 hari lagi untuk menyempurnakan puasa tahun ini. Mengapa 27 atau 26 hari. Bukankah ada 21 atau 22 hari sahaja lagi? Sebagai orang beriman dan berilmu, kita kenalah fikir ke depan selepas puasa Ramadhan ini. Kenalah merancang untuk berpuasa selama 6 hari di bulan Syawwal nanti. Aku lebih suka berpuasa 6 hari di bulan Syawwal sebaik sahaja selepas 1 Syawwal, dan melakukannya 6 hari berturut-turut. Cara ini lebih mudah bagiku, dan dah banyak tahun aku beramal cara ini.

Tahun ini aku merasa lebih tenang dan lebih mudah berpuasa. Tidak seperti banyak tahun-tahun sebelum ini. Di tempat aku ini kalau ada jiran yang jahat, bila masuk Ramadhan terutama dah dekat raya maka kejahatannya bertambah, suka buat bising, pasang sound systemnya dengan kuat / sangat kuat tanpa mempedulikan jiran-jiran yang lain. Alhamdulillah, Allah dah halau mereka keluar dari perjiranan ini berkat doa dan usaha orang-orang yang teraniaya. Di masjid dan surau pun satu hal, bila masuk bulan Ramadhan atau dah dekat nak raya, mulalah mereka buat bid'ah dan jenayah kejiranan, pasang sound pembesar suara dengan kuat sehingga satu kampung mendengarnya, tanpa mempedulikan manusia nak tidur, berehat atau pun tanpa mempedulikan orang yang beriman beribadat di tengah malam. Beginilah terjadinya apabila orang-orang yang tidak berkelayakan lagi jahil goblok di berikan jawatan di masjid dan surau. Berbagai-bagi kesalahan yang menjolok mata dan telinga mereka lakukan, kononnya atas nama agama, padahal merekalah perosak masyarakat dan kemurnian agama ini.

Kesalahan adab dalam menggunakan pembesar suara ini bukan berlaku masa ramadhan sahaja, tetapi berlaku sepanjang tahun. Nanti aku akan tulis satu memorandum mengenai perkara ini insyaAllah, dan akan aku serahkan kepada masjid-masjid dan surau insyaAllah. Bahan-bahan tulisan ini dah ada, cuma nak ku susun supaya menjadi memorandum yang baik.

Solat tarawih!!! Aku buat di rumah sahaja, di akhir malam, (dekat waktu sahur / dekat jam 5 pagi). Ini lebih baik dan lebih besar pahalanya berdasarkan pendapat amirulmukminin 'Umar Ibnul-Khattab selepas memerintahkan seorang untuk menjadi imam solat tarawih berjamaah. Dah enam ke tujuh tahun dah aku buat seperti ini sejak 2001. Aku buat 8 rakaat dan 3 rakaat witir. Kerana ini sunnah dari Nabi s.a.w. dan bilangan rakaat (8 rakaat) ini yang mampu aku lakukan. Tarawih sebanyak 20 rakaat walaupun ada dalilnya, tapi aku tak mampu untuk mengamalkannya dengan tenang dan tepat, banyak sangat. Solat tarawih dengan tenang, bukannya dengan terburu-buru dan laju seperti yang berlaku di banyak masjid/surau. Aku boikot solat tarawih di surau secara berjamaah kerana banyak sungguh kesalahan kebid'ahan yang menyakitkan hati aku. Antaranya ialah solat dengan laju seolah-olah macam nak kejar sesuatu, tiada ketenangan, bising hingar-bingar. Kesalahan yang lain ialah orang-ramai bersolawat dengan menjerit-jerit dan lafaz ucapan solawat pun tak betul, tiada adab kesopanan langsung apabila berada di rumah Allah. Dan banyak lagi bid'ah atau yang menyalahi sunnah Nabi s.a.w. yang tak dapat aku tulis di sini.

Nanti aku sambung lagi.

Saturday, July 19, 2008

Bismillah, alhamdulillah, setelah dua bulan lebih menyepi hari aku akan tulis lagi.

Pada Jumaat, 11 Julai minggu lepas aku telah bina Blog baru bertajuk SILSILAH BANI HASAN REMBAU. Blog ini aku bina khas untuk projek Family Tree yang telah aku war-warkan sebelum ini. Walaubagaimanapun dalam Blog al-amiNJ ini akan ku masukkan juga cerita dalam keluarga besar ku iaitu keluarga Bani Hasan, sekiranya aku rajin. Buat masa ini untuk view Blog baru ini memerlukan PERMISSION dari ku, dan seseorang itu perlu ada account gmail dari Google. Munkin setelah stabil Blog ini barulah aku buka view Blog ini untuk semua tanpa perlu melalui proses PERMISSION dari ku.

Dalam dua bulan kebelakangan ini ada beberapa entry yang boleh aku muatkan di sini :

(1) Sabtu, 31 Mei 2008
Hadiri kenduri kahwin anak abang sulongku di Mantin NS. Di sini aku jumpa ramai saudara-saudara yang dah lama tak jumpa, seolah-olah macam dah terputus hubungan. Di sini aku ambil kesempatan untuk promote Projek Family Tree ku, untuk kumpulkan maklumat keturunan moyang kami, Hasan, dan juga maklumat dari keturunan datokku sebelah emak bernama Long. Antara yang telah ku war-warkan projek ini ialah Pak Teh Tifla (Ayah D), Pak Lang Mohammad dan Khalid anak Pak Long Muhammad Ali. Dari majlis kenduri ini aku dapat sikit semangat untuk meneruskan usaha ini dan merancang untuk ziarah beberapa saudara untuk tujuan kumpul maklumat.

(2) Ahad, 15 Jun 2008
Setelah dua minggu kenduri kahwin di Mantin, aku telah berjaya ziarah Pak Lang Mohammad di Kampung Pandan Dalam. Aku sampai ke rumahnya sudah pukul 12 lebih tengahari, dan dah dekat waktu makan tengahari dan solat Zuhur, oleh itu hanya beberapa (sebenarnya banyak juga) maklumat sahaja yang aku dapati. Maklumat dari Pak Lang tak dapat aku catitkan on the spot dalam situasi seperti itu. Pengajaran dari situasi ini ialah aku perlu buat temujanji terlebih dahulu dan tidak datang waktu tengahari, waktu makan tengahari. Dengan cara ini usaha awal pengumpulan maklumat dari responden akan lebih teratur, insya Allah. Satu maklumat penting yang aku dengar dari Pak Lang Mohammad, yang tak pernah aku dengar sebelum ini ialah "Long" bapa kepada Pak Lang Mohammad, juga bapa kepada makku yang juga datok kepadaku sebenarnya berasal dari SETUL, selatan Siam, dekat dengan Perlis. Selama ini aku ingat Atok Hilir "Long" keturunan Minang. Satu lagi maklumat ialah Pak Lang Mohammad (dari isteri Atok Long) adalah keturunan dari pengikut-pengikut Raja Melewar, yang berkampung di Kampung Penajis (semasa Raja Melewar ditabalkan menjadi Yam Tuan NS yang pertama).

(3) Sabtu, 5 Julai 2008
Ziarah Mak Lang Zainab,di Desa Pandan. Ziarah yang ini pun aku datang waktu tengahari dan tanpa temujanji untuk buat "temubual" untuk Projek Family Tree". Hari ini dapat beberapa (sebenarnya banyak) maklumat tapi tak dapat aku catitkan on the spot semasa dengar Mak Lang bercakap. Masa tu hanya Mak Lang yang ada di rumah, sedang masak, so aku pun berborak-boraklah dengannya semasa dia memasak dan semasa makan tengahari. Dah dekat masuk waktu zuhur aku pun beransur keluar ke Masjid dekat rumah Mak Lang. Antara maklumat dari nya ialah Mak Lang dan Pak Lang Sharif dah ada (duduk) di Kampung Pandan Dalam semasa pendudukan Jepun dulu. Masa tu kawasan itu hutan dan banyak pokok pandan.

(4) Rabu, 16 Julai 2008
Bapaku telah dimasukkan ke Hospital PUSRAWI KL, kerana masalah lemah dan tak lalu makan. Umurnya 88 tahun.

(5) Sabtu, 19 Julai 2008
Semasa aku menunggu abah di wad 3, tingkat 4, Pak Teh Tifla, D dan anak-anaknya datang. Inilah kali pertama aku jumpa/lihat D setelah lebih 20 tahun. Mmmmm. Sebelum ini dia hanya dalam ingatanku sahaja. Abahnya Pak Teh Tifla tanya aku bila aku nak datang rumahnya (untuk projek Family Tree) seperti yang telah aku katakan (nak jumpa dia) kepadanya sebelum ini di kenduri kahwin di Mantin tempohari. Aku katakan kepadanya - bulan depan sebelum dia berlepas ke Makkah.

Setakat ini entry pada malam ini.

Sunday, May 11, 2008

TAG - MEME ISLAM, SIRI 3

Alhamdulillah! Hari ini Sabtu 10 Mei 2008 aku dapat buka komputer, dan mula tulis untuk blog ku dan cuba jawab baki soalan TAG yang dikirim oleh D. Sebenarnya aku belum betul-betul sihat, kepala masih pusing2 lagi, tapi bolehlah tekan keyboard ini.

OK, aku backforward sikit. Mengenai cara buat link. Pada entry 30 April 2008 blog ku aku telah tulis orang yang telah TAG ku iaitu D. Pada mulanya aku tulis seperti ini
D http://pausetoreflect.blogspot.com/2008/04/tagged-islamic-meme.html
Selepas aku pos entry ini aku terfikir, orang lain punya link pendek sahaja tapi aku punya link punyalah panjang. So, aku pun buat research sikit dan dengan sikit experiment aku berjaya memendekkan link seperti ini D sahaja.
Caranya ialah seperti berikut : 1) Copy alamat link yang dikehendaki pada bahagian atas webpage. 2) Kemudian pada page DRAFT GOOGLE BLOG taipkan huruf atau nama yang hendak di link-kan. SELECT-kan huruf atau nama itu. 3) Kemudian CLICK pada INSERT LINK pada DRAFT PAGE. Kemudian PASTE-kan alamat LINK yang telah di COPY-kan tadi. Kemudian CLICK OK. Dan jadilah LINK seperti yang dikehendaki pada page DRAFT.

Baiklah, kita masuk terus kepada soalan TAG seperti berikut :

2) What Hadith (Qudsi or Sunnah of the Prophet salalahi alahi wa salaam) do you find most inspiring and why?
Apakah Hadis (Qudsi atau Sunnah Nabi S.A.W.) yang awak dapati paling memberi inspirasi dan kenapa?

Jawabannya ialah Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ummul Mukminin yaitu Ummu Abdullah ‘A-isyah R.HA. katanya : Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Barangsiapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini suatu pekerjaan yang tiada daripadanya, maka (yang diada-adakan) itu tertolak. Dan pada satu riwayat Muslim Baginda bersabda : Barangsiapa yang mengerjakan suatu pekerjaan yang tiada di atasnya urusan kami, maka ia tertolak.

Hadis sahih yang disepakati oleh Al-Bukhari dan Muslim ini mengajar kita agar berhati-hati dalam beramal sesuatu amalan agama agar amalan yang kita lakukan itu tidak sia-sia di sisi Allah dan agar kita tidak rugi di Akhirat nanti. Hadis ini juga secara halusnya menuntut kita agar sentiasa memeriksa dalil akan setiap amalan yang kita lakukan supaya sentiasa menepati As-Sunnah. Mana-mana amalan yang menyalahi dalil-dalil yang sahih maka hendaklah ditinggalkan agar kita terselamat dari ancaman hadis di atas. Dengan mengetahui dalil-dalil secara tepat akan setiap amalan kita itu, dan dengan kefahaman yang sahih maka kita terselamat dari mengada-adakan sesuatu dalam agama ini.

Sangat banyak contoh-contoh yang boleh ku berikan supaya menjadi iktibar. Antaranya, kira-kira lapan tahun dulu aku suka pakai cincin di jari tengah, kononnya ikut sunnah. Satu hari telah sampai kepadaku satu hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, At-Turmuzi dan An-Nasai dari Ali bin Abi Talib a.s., dia berkata “Rasulullah s.a.w.a. telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya (jari tengah atau jari hantu).”Selepas aku terima hadis ini aku tinggalkan amalan memakai cincin di jari tengah kerana larangan hadis tadi. Aku pun menulis satu artikel mengenai perkara ini dan ku sebarkan kepada kawan-kawan dan orang-ramai. Ada yang mengikut hadis cincin ini dan ada yang beri alasan untuk tak mahu ikut.

OK. Setakat ini untuk soalan No. 2. Soalan berikutnya ialah :

3) Other than the Prophet himself salallahi alaihi wa salaam - what Muslim man do you find most inspiring and why?
Selain dari Nabi s.a.w. sendiri – siapakah LELAKI MUSLIM yang awak dapati paling memberi inspirasi dan mengapa awak berkata demikian?

Jawabannya ialah ‘Ali Bin Abi Talib. Beliau sepupu Nabi s.a.w.a., menantu Baginda s.a.w.a., dan Khalifah Islam Ar-Rasyidin yang keempat. Beliau seorang sangat berjiwa besar, sangat penyabar dan sangat berilmu dan bijaksana. Perjalanan hidup beliau dari zaman kanak-kanak hinggalah beliau mati syahid penuh dengan pengajaran bagi orang-orang yang berakal.

Beliau seorang yang sangat penyabar dengan kesabaran yang indah. Apabila merasakan haknya tidak diberikan kepada yang berhak maka beliau sangat bersabar, beliau tidak melancarkan pemberontakan melawan Khalifah Abu Bakar, malah memberikan bai’ah kepadanya walaupun pada kadar yang sungguh lambat. ‘Ali a.s. juga sentiasa memberikan nasihat-nasihat kepada Khalifah-Khalifah Islam sebelumnya, dan sejarah telah membuktikan beliau telah banyak menyelamatkan banyak keadaan dengan pandangannya yang bernas, jitu dan tepat.

Kepahlawan beliau di medan perang sudah sangat terkenal dan beliau sangat digeruni oleh kaum musyrikin.

Sifat kebijaksanaan dan kepahlawanan beliau turunkan kepada putera beliau Al-Hasan dan Husain. Pernah semasa Uthman dikepung oleh pemberontak, ‘Ali telah memerintahkan Al-Hasan dan Husain mempertahankan Uthman, tapi apakan daya kerana bilangan pemberontak lebih ramai maka Uthman telah terbunuh.

Di antara hadis sahih yang menyatakan keutamaan ‘Ali ialah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid Bin Al-Arqam r.a. yang menerangkan mengenai peristiwa Ghadir Khum, dimana Rasulullah s.a.w.a. bersabda : “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang penting, salah satu daripadanya lebih besar daripada yang lain : Kitab Allah Ta’ala dan ahli keluarga terdekatku. Maka perhatikanlah bagaimana sikap kalian terhadap kedua-duanya sepeninggalan aku kerana sesungguhnya kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga bertemu dengan aku di Telaga Al-Haudh (di Akhirat kelak).” (Zaid berkata) : Kemudian baginda bersabda : “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla adalah Mawla aku dan aku adalah mawla bagi setiap Mukminin.” (Kemudian Zaid menerangkan) : Kemudian baginda mengangkat tangan ‘Ali r.a. lalu bersabda : “Barangsiapa aku adalah mawlanya maka inilah (‘Ali) walinya. Ya Allah! Cintailah sesiapa yang memperwalikannya dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya.”
Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak hadis No 4576, dan disahkan oleh Az-Zahabi.

Dalam amalan seharian sekiranya sesuatu amalan itu mempunyai beberapa cara mengamalkannya maka aku memilih amalan yang berasal dari hadis ‘Ali a.s. Contohnya, doa antara tasyahhud akhir dan salam ada banyak hadis dengan lafaz bacaan yang berlainan, tetapi aku lebih tenang memilih hadis dari ‘Ali yang diriwayatkan oleh Muslim sebagai berikut : Bila Rasulullah s.a.w.a. berdiri mengerjakan solat maka ucapan terakhir yang dibacanya di antara tasyahhud dan taslim ialah : (Terjemahannya) Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu mahupun yang terkemudian, apa-apa yang tersembunyi dan yang kunyatakan, apa-apa yang ku terlanjur dan apa-apa yang Engkau sendiri lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang memajukan dan Engkaulah yang menangguhkan. Tiada Ilah melainkan Engkau.

Sekian untuk soalan ini.

Soalan berikutnya ialah :

4) Who is the most inspiring Muslim woman to you and why?
Siapakah wanita muslim yang paling memberi inspirasi kepada awak dan mengapa awak berkata begitu?

Jawapannya adalah sama dengan D, iaitu Khadijah Binti Khuwailid. Bukan kerana namanya sama dengan D, bukan kerana namanya sama dengan ibuku tapi kerana kualiti-kualiti unggul yang ada padanya.

Khadijah a.s. adalah isteri Rasulullah s.a.w.a. yang paling unggul dan yang paling disayanginya, walaupun setelah lama beliau meninggal dunia sehingga menyebut-nyebut namanya sehingga menimbulkan rasa cemburu kepada isterinya ‘A-isyah. Khadijah a.s. juga adalah ibu kepada Fatimah Az-Zahrok a.s. seorang wanita utama yang tidak akan dapat ditandingi oleh wanita-wanita lain sepanjang zaman setelahnya. Dua orang wanita ini telah melakar sejarah gemilang yang tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana wanita lain sekalipun. Dari zuriat Fatimah a.s. lahirlah dua orang putera yang paling unggul, Ketua Pemuda Di Syurga iaitu Al-Hasan dan Husain a.s. Dan di rumah Rasulullah s.a.w.a. dan Khadijah a.s. telah terdidik bakal pejuang Islam yang sangat mulia iaitu ‘Ali a.s.

Apabila Rasulullah s.a.w.a. menerima wahyu pertama, dan balik rumah dalam keadaan ketakutan, maka Khadijah-lah yang memberi kata perangsang dan semangat kepada baginda, Khadijah-lah yang terus membenarkan wahyu pertama itu tanpa soal sedikit pun.

Apabila Rasulullah telah dimusuhi dan didustakan oleh kaumnya, maka Khadijah-lah yang menyokong dan membantu Baginda s.a.w.a. dalam semua segi yang termampu. Ini lantaran Khadijah a.s. mengetahui sungguh-sungguh akan keperibadian Rasulullah s.a.w.a. yang sentiasa berkata benar, amanah, selalu menolong orang yang kesusahan, selalu menyambung silaturrahmi, dan selalu bersifat pemurah.

Segala sokongan tidak berbelah bagi dari Khadijah a.s. ini sangat berbekas ke jiwa Rasulullah s.a.w.a. walaupun setelah lama Khadijah a.s. meninggal dunia. Tiada isteri Baginda yang lain yang dapat menggantikan Khadijah a.s. walaubagaimanapun berusaha.

Setakat ini komenku. Soalan berikutnya ialah :

5) What CONTEMPORARY (i.e., living) Muslim do you find most inspiring and why?
Siapakah Muslim semasa (yang masih hidup) yang anda dapati paling memberi inspirasi dan mengapa anda kata demikian?

Soalan ini memang payah untuk ku jawab. Setelah ku pelajari sifat-sifat Nabi s.a.w.a. dan sifat-sifat sahabat yang utama, maka payah untuk mendapati orang yang memuaskan hatiku. Buat masa ini jawabannya ialah tiada kepada soalan ini.

Kalau soalannya tidak tertakluk kepada Muslim yang masih hidup, munkin aku boleh jawab dengan beberapa orang tokoh yang hebat.

Baiklah, soalan berikutnya ialah :

6) How has Islam inspired you in your daily life?
Bagaimanakah Islam telah memberi inspirasi dalam kehidupan seharian anda?

Apabila aku telah mengucap dua kalimah syahadah, maka aku faham bahawa seluruh kehidupanku hendaklah tertakluk kepada makna dua kalimah syahadah itu. Apabila aku mengatakan Tiada ILAH melainkan Allah, maka semua ILAH-ILAH selain daripada ALLAH hendaklah aku reject, hendaklah aku tolak dengan penolakan TOTAL. ILAH-ILAH yang dimaksudkan ialah semua ism-ism, semua berhala-berhala dan semua thoghut-thoghut, maka semua itu hendaklah di tolak melainkan ALLAH sahaja. Dan ALLAH dengan rahmatNya telah menurunkan Al-Quran untuk panduan TOTAL kepada kehidupan manusia beriman di dunia ini dan untuk kebahagiaan mereka di Akhirat nanti. Maka Al-Quran ini wajib bagi yang telah mengucap dua kalimah syahadah tadi untuk mengambilnya secara keseluruhan tanpa menolak walau sedikit pun dari isi kandungannya. Penolakan walau sedikit pun dari Al-Quran bermakna telah batallah dua kalimah syahadah yang telah diucapkan tadi.

Apabila aku mengucap bahawa Muhammad itu adalah Rasulullah, bermakna aku mengaku untuk mengikut semua ajaran yang dibawa oleh baginda tanpa penolakan walau sedikit pun. Aku faham bahawa konsekuen / akibat dari mengucap dua kalimah syahadah ini aku mesti mengikut sunnah Nabi s.a.w.a. dalam semua bidang kehidupan di dunia ini, dan mengingkari semua sunnah-sunnah yang menyalahi sunnnah Nabi s.a.w.a.

Dalam kehidupan seharianku, Islam telah mencorakkannya, walaupun tidak sepenuhnya, kerana kelemahan-kelemahanku sebagai manusia. Sejak aku mengenal dakwah Islam sejak umur 14 tahun di sekolah berasrama penuh, telah ku tambahkan sedikit demi sedikit amalan-amalan Islam dalam kehidupanku, telah ku tambah sedikit demi sedikit fahaman mengenai Islam hinggalah kepada keadaanku seperti hari ini. Untuk mengalami seperti ini memerlukan jihad dan ketahanan jiwa, ketahanan hati dari segala yang mahu mengalihkan perhatian ku daripada mengamalkan Islam secara komprehensif. Tanpa kekuatan jiwa dan ketahan hati, seseorang tidak munkin akan berjaya mengamalkan sunnah Islam. Nafsu seseorang akan sentiasa mengajak kepada keindahan dan keseronokan dunia yang melalaikan. Rakan-rakan, sahabat-sahabat, saudara dan manusia amnya akan mengadakan rintangan secara halus supaya kita meninggalkan jihad untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan.

Dalam banyak hal aku terpaksa bersendirian dalam mengamalkan Islam, kerana aku lebih sayangkan Allah dan RasulNya lebih dari dunia ini. Kalau ditaqdirkan aku bersendirian ketika mati kerana menegakkan Islam, maka aku ridho.

Setakat ini ulasan aku. Soalan terakhir berikut ialah :

7) If you could do anything at all to inspire others through Islam, how would you do it?
Kalau anda boleh melakukan sesuatu untuk memberi inspirasi kepada orang lain dengan Islam, bagaimanakan anda melakukannya?

Perkara pertama dan utama dalam memberi inspirasi kepada orang lain adalah dengan mengamalkan Islam itu dengan ikhlas dan dengan cara yang betul dan tepat sesuai dengan Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w.a.

Walaupun manusia tidak faham, aku tetap akan mengamalkan Islam itu. Aku akan tetap mengamalkan sunnah itu tanpa ada rasa takut kepada celaan orang yang mencela. Dengan keteguhan hati yang telah kutunjukkan itu, diharapkan orang-orang yang berminat kepada Islam akan nampak akan keindahan Islam itu suatu hari nati, insyaAllah.

Perkara kedua adalah memberi nasihat secara lisan. Dengan berbekalkan ilmu yang tepat, insyaAllah aku mampu memberi nasihat kepada yang memerlukannya atau kepada yang merasa tidak memerlukannya.

Perkara ketiga ialah memberi nasihat dan dakwah secara tulisan. Inilah yang banyak telah ku lakukan sejak 10 tahun terakhir ini. Kalau ada sesuatu isu yang menarik minatku, aku akan melakukan research mengenai perkara ini dan akan ku tulis sebuah artikel yang berkaitan. Artikel ini sebesar saiz A4 atau A3, ringkas, padat dan mudah difahami tanpa penjelasan yang berjela-jela. Artikel ini mesti mengandungi hadis-hadis yang berkaitan, dan atau penjelasan ulama mengenainya. Artikel yang aku terbitkan ini akan aku edarkan kepada yang berkenaan, kepada rakan-rakan dan saudara-mara. Inilah satu sumbangan kecil ku terhadap Islam, semoga bermanafaat kepada sesiapa yang menerimanya. Semoga aku mendapat balasan yang baik disisi Allah s.w.t.



Perkara keempat ialah dengan menganjurkan kelas pengajian Islam. Perkara ini pernah aku lakukan lapan ke sepuluh tahun dahulu semasa aku memegang jawatan setiausaha pentadbiran dan setiausaha tarbiah sebuah parti Islam di Ibukota. Sebahagian besar kelas pengajian atau ceramah diadakan di rumah kediamanku. Antara pengajian yang sangat berkesan kepada diriku sehingga ke hari ini ialah kursus mengambil wudhu ikut sunnah dengan menggunakan air yang sungguh sikit, yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zain. Penganjuran kelas pengajian ini adalah sebahagian kecil dari sumbanganku untuk Islam, semoga bermanfaat setiap yang mendengarnya dan semoga dicontohi oleh generasi kepimpinan yang lain.

Sekian jawabanku untuk soalan TAG dari D.

Untuk memenuhi peraturan No. 3 TAG ini, dengan ini aku passkan TAG ini kepada :
ibnuhasan, nama serupa dengan namaku, aku dapat nama ini dari BLOG Search.
minnt pun nama hampir serupa dengan namaku
Nawi, rakan sepengajian ustaz RD

Setelah siap draf di atas maka aku Publish Draf ini pada malam Isnin 12 Mei 2008.

Note : Pada Selasa 13 Mei 2008 aku telah edit sikit (betulkan ejaan dan betulkan sebuah istilah perkataan, iaitu pada para kedua - dari 'Kemudian COPY-kan alamat LINK' kepada 'Kemudian PASTE-kan alamat LINK' ) pada post di atas. Mengenai tarikh post yang tertera di atas Post ini, maka ini diluar kawalanku kerana tarikh itu kurang tepat, wallahua'lam.

Wednesday, May 7, 2008

DEMAM

Petang ini aku rasa kurang demam. Dah boleh buka computer dan taip. Mula rasa demam sejak petang Jumaat lepas, lepas balik dari kerja, rasa demam sikit-sikit. Malam sebelum tu tulis entry untuk post bertajuk TAG - MEME ISLAM, SIRI 2. Dan besoknya baru rasa demam betul. Sebab-sebabnya munkin stress kerja, stress computer dan cuaca panas.

Kerja-kerja professionalku terpaksalah cuti sampai hari ini. Dan janjiku untuk menjawab baki soalan TAG itu terpaksa aku tangguh, Minta maaf kepada yang telah dijanji itu.

Thursday, May 1, 2008

TAG - MEME ISLAM, SIRI 2

Bismillah. Alhamdulillah, hari ini dapat sambung semula tulis blog-ku ini.
Sebenarnya dalam masa aku mendraf jawaban aku telah bereksperimen dengan beberapa teknik blogger ini. Aku tekan sana, tekan sini, akhirnya jadilah seperti posting semalam. Aku telah belajar bagaimana nak buat LINK dalam page. Inilah satu cara aku belajar teknik memblog, nak tanya orang, tiada siapa berdekatan nak ditanya.
Seperti yang dijanjikan semalam aku akan jawab soalan TAG itu.
SOALAN PERTAMA ialah :

1) What Qur’anic verse do you find most inspiring and why? What does it mean to you personally?
Ayat Quran apakah yang anda dapati paling memberi inspirasi (ilham / semangat / dorongan) dan mengapa? Secara peribadi, apakah maknanya ayat itu kepada anda?
Jawaban soalan ini bukannya satu atau dua ayat Al-Quran, kerana bagiku terdapat satu grup ayat yang paling memberi inspirasi kepadaku.
Supaya posting ini tidak terlalu panjang aku akan beri hanya satu sahaja ayat iaitu dari Surah Ali 'Imran 3 : Ayat 31 seperti berikut terjemahannya :
"Katakanlah (wahai Muhammad) Jika kamu (benar-benar) mengasihi Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni kamu." Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Pada dasarnya setiap orang yang beriman wajib kasih kepada Allah dan RasulNya Muhammad s.a.w.a.
Allah telah beri satu panduan yang sangat berharga kepada orang yang mengaku kasih kepada Allah. Dengan cara mengikut panduan ini Allah akan membalas dengan mengasihi pula mereka dan mengampuni mereka. Siapakah yang tidak mahu dikasihi oleh Allah dan mendapat keampunanNya??? Apa dia panduan dari Allah itu? Caranya ialah dengan mengikuti Nabi Muhammad s.a.w.a.; iaitu dengan cara mengikuti / mengamalkan sunnah Nabi s.a.w.a. dalam semua aspek kehidupan di dunia ini, samada terdiri dari urusan dunia atau terdiri dari urusan akhirat. Pembahagian sunnah dari segi bahasa, dari segi syara' dan berbagai pembahasan mengenai sunnah Nabi s.a.w.a., maka di sini bukanlah tempatnya, dan aku tak bermaksud untuk membahasnya. Maulid Nabi s.a.w.a. telah berlalu tak berapa lama. Pada musim perayaan ini kita akan saksikan orang-orang akan melaung-laungkan salawat ke atas Nabi s.a.w.a., bernasyid, bersyair memuji dan menyatakan kasih kepada Nabi s.a.w.a. Tetapi kita akan juga saksikan mereka dan yang lain-lain berani melakukan berbagai bid'ah dan pembohongan ke atas Rasulullah s.a.w.a. secara terang-terangan. Sudah tentu gejala ini bertentangan dengan ayat Al-Quran yang dinyatakan tadi, kerana yang diperintah ialah "Mengikuti Nabi s.a.w.a." bukannya membuat pembohongan ke atas Nabi s.a.w.a. Kalau ada izin Allah akan ku jelaskan lagi (di lain tempat) mengenai perkara ini.
Bagi diriku, ayat tadi memberi dorongan untuk mengikut sunnah Nabi s.a.w.a. dengan cara berazam di hati untuk mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w.a. keseluruhannya, kemudian akan dilaksanakan sekadar kemampuan diriku. Begitu juga ayat ini ku gunakan dalam memberi dorongan kepada sasaran dakwahku apabila aku menulis beberapa artikel mengenai Islam.
Satu daripada ajaran Nabi s.a.w.a. mengenai KASIH ialah dari sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim seperti berikut : Rasulullah s.a.w.a. bersabda (yang artinya), "Seseorang tidak beriman sehingga aku lebih dikasihi daripada kedua orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia"
Begitu juga kasih kepada Allah dan RasulNya akan membawa kepada konsekuensi untuk melaksanakan kitab Allah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.a. yang sahih, melaksanakan hukum dengan berpegang teguh kepada keduanya (Al-Quran dan As-Sunnah) dan tidak boleh mendahulukan pendapat orang atas keduanya (Al-Quran dan As-Sunnah).
Setakat ini jawaban kepada soalan pertama. Jawaban kepada soalan berikutnya pada posting akan datang, insyaAllah.

Wednesday, April 30, 2008

TAG - MEME ISLAM

Aku telah terima TAG dari D pada hari Khamis 24 April 2008. Memang tak ku sangka akan kena tag ni, fasal aku bukannya orang yang dikenali ramai di alam blog, kerana masih baru, sejak Feb 2008. Dan orang yang akan ku passkan tag ini pun akan merasa tak sangka kerana telah terpilih, hehehe.Walaubagaimanapun aku ucapkan terima kasih pada sahabatku D, dan insyaAllah akan ku jawab dengan baik. Aku telah minta tangguh selama 2 minggu untuk jawab TAG itu, ada seminggu lagi nak siapkan kerja ni.

OK… Sebelum aku jawab soalan tag ini, aku nak habaq,

Yang pertama : walaupun soalan dalam ENGLISH, tapi aku jawab dalam Bahasa Melayu, kerana ini lebih selesa bagiku. English-ku dalam tulisan dah berkarat, walaupun reading and understanding-ku in English is excellent, kalau tak pun(good). Aku lebih suka baca berita dan artikel sains dalam English daripada Bahasa Melayu kerana bahasanya lebih tepat. Aku semasa sekolah dan kolej dulu pun dari aliran English, dah berumur sikit masuk pulak aliran Arab. Kalau boleh lepas ni nak belajar bahasa Kwangtung dan Mandarin pulak.

Yang Kedua : Apa tu MEME seperti yang tersebut dalam TAG itu? Jawapannya tak boleh dengan satu atau dua perkataan. MEME ada banyak definasi. Secara mudahnya MEME berdasarkan konteks TAG ini ialah seperti begini : "Ia terdiri dari apa-apa unit informasi kebudayaan seperti amalan-amalan dan ide / fikiran yang tersebar secara lisan atau tulisan atau secara amalan yang berulang-ulang yang tersebar dari satu minda ke satu minda. Untuk jawaban yang lebih memuaskan sila layar laman web ini
http://dictionary.reference.com/search?db=dictionary&q=meme dan
http://www.reference.com/search?q=meme

OK. Kita masuk kepada tajuk yang sebenar. Peraturan TAG yang aku terima adalah seperti berikut :

Rules:

1) Answer the following questions (7 in total)

2) Post on your blog with link to who tagged you

3) Tag a minimum of three other bloggers and include links to their blog in your tag. Make sure to let them know you’ve tagged them too.

Dan soalan TAG adalah seperti berikut :

Meme Questions:

1) What Qur’anic verse do you find most inspiring and why? What does it mean to you personally?

2) What Hadith (Qudsi or Sunnah of the Prophet salalahi alahi wa salaam) do you find most inspiring and why?

3) Other than the Prophet himself salallahi alaihi wa salaam - what Muslim man do you find most inspiring and why?

4) Who is the most inspiring Muslim woman to you and why?

5) What CONTEMPORARY (i.e., living) Muslim do you find most inspiring and why?

6) How has Islam inspired you in your daily life?

7) If you could do anything at all to inspire others through Islam, how would you do it?

Setakat ini untuk posting hari ini Untuk memenuhi kehendak TAG seperti tersebut di atas, akan ku tulis pada posting akan datang, insyaAllah.

Monday, April 14, 2008

AIRCON DI MASJID DAN SURAU

Sudah hampir sebulan tak menulis, bukannya kerana apa, cuma terkena SBT, Sidrom Berat Tangan (untuk menulis). Alhamdulillah hari ini dah ada keringanan sikit.

Tajuk kali ini adalah mengenai pengggunaan Aircon di masjid dan surau, pro dan kontra.

Mengapa aku tulis tajuk ini? Kerana prihatin mengenai keadaan dan pengurusan masjid dan surau, sebagai orang yang beriman kenalah ada rasa prihatin mengenai Islam dan apa-apa yang menyentuh mengenai Islam.

Sejak 10 tahun ini aku dapati beberapa surau di keliling tempat tinggalku di pinggir Ibukota telah menggunapakai aircon di dewan solat. Munkin pengurusan surau berniat untuk beri lebih keselesaan kepada jamaah solat. Memang terasa dingin. (Niat yang baik belum tentu mendatangkan kebaikan dan pahala. Matlamat tidak menghalalkan cara).

Sesungguhnya selesa dan dingin yang ada seperti yang aku saksikan ini adalah suatu yang merosakkan perpaduan Muslimin dan keindahan Islam itu. Mengapa? Kerana apabila aircon dihidupkan maka semua pintu di sekeliling dewan solat akan ditutup. Petugas surau bersungguh-sungguh menutup pintu-pintu itu. Dan ada yang menegur kalau ada ahli jamaah yang tidak menutup pintu apabila telah masuk ke dalam dewan solat. Semua ini adalah suatu yang fasad dan dosa.

Islam yang di bawakan oleh Rasulullah Muhammad s.a.w. telah wujud lebih 1428 tahun di muka bumi ini. Institusi masjid dan solat berjamaah telah di sunnahkan di Madinah. Kaum Muslimin bersemangat untuk bersolat fardhu berjamaah, masjid pun penuh dengan mereka yang menyahut panggilan azan. Tahukah kita bagaimana keadaan Masjid Nabi di Madinah kalau dibandingkan dengan keadaan masjid yang moden hari ini. Sungguh daif, tapi itulah masjid yang agung, yang dari situlah lahir pejuang dan pendakwah Islam yang bertebaran keseluruh pelusuk bumi. Islam telah sampai ke Tanah Melayu ini, mengikut satu riwayat pada abad ke 10 masihi. Masjid-masjid yang didirikan dari dahulu hinggalah ke hari ini adalah tanpa aircon. Tiada masalah apa-apa, dan tiada masalah ketidakselesaan beribadat didalamnya.

Aku tidak membantah penggunaan aircon pada dasarnya kerana tiada dalil syar'i mengharamkannya. Tetapi sesuatu yang halal akan bertukar hukumnya kepada haram atau makruh apabila adanya sebab-sebab tertentu yang mendatang.

Masjid dan surau adalah tempat ibadat untuk seluruh kaum muslimin dan muslimat, bukan dikhaskan untuk orang-orang tertentu. Kaum muslimin hendaklah BEBAS MASUK DAN KELUAR masjid setiap masa tanpa ada apa-apa halangan. Pemimpin masjid hendaklah sayugia sentiasa mengalu-alukan kehadiran kaum muslimin ke masjid, mengwujudkan halangan seperti menutup pintu-pintu dewan solat masjid dan mensyaratkan sentiasa ditutup adalah satu perbuatan yang menyusahkan kaum muslimin, ini tidak patut, ini adalah suatu kefasadan. Ini adalah suatu dosa, kerana menyakitkan orang-orang yang beriman tanpa apa-apa dosa yang mereka lakukan.

Pernah berlaku beberapa kali aku datang awal ke surau, aku telah membuka pintu-pintu dewan solat surau (Surau Al-Amin), sudah tentu kerana supaya kaum muslimin mudah dan senang masuk ke dalamnya. Tapi ada satu petugas surau ini yang jahil telah menghidupkan aircon dan menutup semua pintu-pintu yang telah aku buka itu. Aku yang sedang solat sunat merasa sangat terganggu akan perlakuan biadab ini. Aircon disurau ini telah dipasang kira-kira pada pertengahan tahun lepas.

Untuk renungan kita semua, kehadiran jamaah solat fardhu dimana-mana sahaja di negara kita secara umumnya adalah sangat sikit kalau dibandingkan dengan jumlah penduduk islam tempatan di sekeliling masjid. apakah yang dilakukan oleh pemimpin masjid untuk mengatasi sindrom ini. Apakah mereka melakukan kempen bersungguh-sungguh untuk mengajak kaum muslimin solat berjamaah di masjid??? Apakah mereka melakukan dakwah lisan dan tulisan kepada mereka??? Apa yang berlaku sekarang, 'lisanuhal pemimpin masjid' ialah kaum muslim tidak dialu-alukan ke masjid. Pintu pagar masjid selalu di tutup, kalau dibuka pun ia dibuka sikit sahaja bukannya dibuka sepenuhnya. Pintu dewan solat masjid disyaratkan sentiasa ditutup untuk keselesaan aircon segelintir orang yang tidak mengerti. (Sekiranya masjid tiada aircon) petugas masjid bersegera untuk menutupkunci pintu dewan solat selepas solat fardhu. Kita fikir-fikirkanlah, sikit yang datang itu tidak di alu-alukan, seolah-olah menyusahkan AJK masjid, seolah-olah masjid itu mereka yang punya.

Cadanganku untuk islahkan kerosakan ini ialah :
1) Setiap AJK masjid hendaklah orang yang tahu, mengerti dan faham akan fiqh masjid berdasarkan sunnah yang sahih. Sekiranya telah terlantik orang yang tidak seperti ini, maka hendaklah diwajibkan menghadiri kursus mengenai fiqh masjid. Pihak berkuasa atau persatuan ulama patut merangka dan menganjurkan kursus ini.
2) Dengan mengetahui fiqh sunnah sahih mengenai masjid, diharapkan dengan semangat taqwa kepada Allah, apa-apa yang menyalahi sunnah, ditiadakan; dan apa-apa sunnah yang ditinggalkan selama ini maka hendaklah dilaksanakan.

Wallahu a'lam.

Untuk posting akan datang aku bercadang untuk tulis mengenai family tree. Memang ini adalah 'interest'ku seperti terdapat dalam profile blog ini.

Sunday, March 16, 2008

Orang-Orang Yang Berjaya, Bahagian Tiga, Terakhir, Final

Berikut ialah ringkasan ciri-ciri orang-orang yang berjaya seperti yang terdapat di dalam Al-Quran. Nota ini aku ringkaskan dari hasil tulisan seorang kawan, Shaharudin. Nota ini mungkin tidak lengkap.

Al-Baqarah, 2 : 5 & 189
Ali ‘Imran, 3 : 104, 130 & 200
Al-Maidah, 5 : 90 & 100
Al-A’raf, 7 : 8, 69 & 157
An-Anfal, 8 : 45
At-Taubah, 9 : 9 & 88
Al-Hajj, 22 : 77
Al-Mukminun, 23 : 1
An-Nur, 24 : 30, 31 & 51
Ar-Rum, 30 : 38
Luqman, 31 : 5
Al-Mujadilah, 58 : 22
Al-Hasyr, 59 : 9
Al-Jumu’ah, 62 : 10
At-Taghabun, 64 : 16
Al-A’la, 87 : 14

Aku tidak bercadang untuk mensyarahkan ayat-ayat Al-Quran seperti tersebut di atas, kerana akan menggunakan ruang yang panjang, dan di blog ini bukanlah tempatnya.

Satu renungan! Al-Quran adalah kalam Allah yang sesuai untuk manusia di sepanjang zaman. Sifat orang-orang yang berjaya seperti yang tersebut dalam Al-Quran
boleh dicapai oleh sesiapa sahaja, samada dia seorang berpelajaran tinggi atau hanya lulusan tingkatan 3, samada dia seorang profesional atau seorang buruh kasar, samada orang kaya atau orang miskin.... sesiapa sahaja boleh mencapai taraf orang yang berjaya (al-muflihun) dengan syarat dia hendaklah orang yang beriman dengan iman yang sempurna seperti yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya Muhammad s.a.w.

Di barat dan di timur terdapat ramai guru-guru/pakar motivasi atau pengurusan yang mengajarkan mengenai sifat orang yang berjaya seperti Steven R. Covey yang menulis buku The Seven Habits Of Highly Effective People. Kita boleh mengambil pengajaran dari mereka tetapi awas, hendaklah ditimbangkan dengan Al-Quran dan Hadis yang sahih; sekiranya sesuai boleh diterima, kalau tidak maka hendaklah ditolak. Dan hendaklah diawasi, bahawa pendapat-pendapat mereka itu tidak merujuk kepada beriman kepada hari akhirat, syurga dan neraka, maka hendaklah awas supaya tidak tergelincir aqidah kita sebagai orang yang beriman. Sekian untuk tajuk ini.

Untuk posting akan datang aku bercadang hendak membincangkan perkara yang lebih "specific" iaitu 'Penggunaan Air-Cond di Masjid dan surau'.

Saturday, March 1, 2008

Orang-Orang Yang Berjaya (Al-Muflihun)

Siapakah orang-orang yang BERJAYA?

Apakah sifat-sifat mereka? Bolehkah kita menjadi orang-orang yang BERJAYA? Sebelum menjawab soalan-soalan ini, kita kena tanya hati nurani kita soalan berikut :

Apakah agama kita? Apakah kitab pegangan kita? Apakah kita ada Nabi dan Rasul untuk diikuti dan ditaaati?

Untuk laman kali aku akan huraikan secara ringkas bagi soalan-soalan di atas. Untuk soalan-soalan itu sudah tentu kita akan menjawab agamaku adalah Islam, Kitab peganganku adalah Al-Quran dan Nabi dan Rasulku adalah Muhammad s.a.w.

Sekira kita telah jawab jawaban di atas dengan jujur maka mudahlah kita menjawab soalan "siapakah orang-orang yang BERJAYA.

Ciri-ciri orang-orang yang BERJAYA(Al-Muflihun) hendaklah berdasarkan ajaran agama Islam, mengikut Kitab Al-Quran dan berdasarkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Kita hendaklah merasa cukup dengan jawaban ciri-ciri ini. Ciri-ciri orang-orang yang berjaya bukanlah berdasarkan ajaran selain daripada Islam seperti ajaran sekular, ajaran falsafah barat dan timur, dan apa-apa sahaja yang menyalahi Al-Quran dan As-sunnah Muhammad s.a.w.

Sumber utama Islam ialah Al-Quran, di dalamnya mengkhabarkan berpuluh-puluh ciri-ciri orang-orang yang BERJAYA, yang boleh dikategorikan kepada dua puluh lebih kategori. Antaranya ialah yang terdapat dalam surah Al-Mukminun 23 : Ayat 1 - 11; yang menkhabarkan bahawa telah BERJAYA orang-orang yang beriman (al-mukminun) yang khusyu' dalam solat mereka, dan orang-orang yang menjauhi perkara-perkara yang melalaikan dan beberapa ciri lagi.

Untuk keterangan lanjut akanku sambung di laman yang akan datang insyaAllah

Saturday, February 23, 2008

MENGIKUT SUNNAH, BUKAN MEMANDAI-MANDAI

Assalaamu'alaikum, ahlan wa sahlan. Orang yang berjaya ialah orang yang beriman kepada Al-Quran keseluruhannya, bukannya beriman kepada Al-Quran sebahagian dan mengingkari Al-Quran sebahagian yang lain. Orang yang berjaya ialah orang yang mengikut sunnah Nabi s.a.w. atau ittiba' As-Sunnah Nabi s.a.w. dalam perkara din (agama) bukannya memandai-mandai mengikut kepandaian sendiri. Orang yang berjaya ialah orang yang memahami agama ini mengikut fahaman generasi Muslim yang pertama yang gemilang.
Sekian intro dari ku, insyaAllah dimasa akan datang akan ku beri kupasan yang lebih terperinci.