Sunday, April 5, 2009

"Mini Reunion SRKJ 1969 : 1

Lama betul tak menulis, lima bulan lebih.

Semalam hari Sabtu 4 April 2009 aku pergi ke Putrajaya. Selepas selesai kerja profesionalku tengahari itu aku bertolak ke sana melalui Maju Expressway yang baru di buka pada Disember 2007. Perjalanan yang selesa dan aku berhenti sekejap di R&R Seri Kembangan. Hanya ada satu sahaja R&R di laluan ke Putrajaya.

Tujuan utama aku ke sana ialah untuk "reunion" dengan rakan sekolah rendahku di Perak iaitu Sekolah Rendah Khir Johari, Sungai Sumun, Hutan Melintang. Pada minggu lepas semasa aku buat Google search mengenai rakan sekolah ini aku terjumpa satu website/blog mengenai himpunan bekas pelajar Sekolah Rendah Khir Johari Sungai Sumun (1969 - 1974), Sekolah Menengah Khir Johari (1975 - 1979), Sekolah Menengah Selekoh (1974 - 1977) dan Sekolah Menengah Seri Perak (1980 - 1981). Aku pun terus sign-up sebagai ahli. Kalau tak silap aku aku ahli yang ke 25. Website ini telah diusahakan oleh Saudara Syed Zulkifli bin Syed Masir, classmate aku semasa darjah 3A tahun 1971.

Sambil reunion aku ingin nak melihat Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia ini. Sebelum ini tak pernah aku sampai ke Pusat Putrajaya ini. Sebelum wujud Putrajaya aku pernah ke tempat ini yang bernama Prang Besar.

Aku berniat nak solat zuhur di Masjid Putra. Sampai sana sudah pukul satu dan hujan gerimis sedikit. Dari jauh, beberapa kilometer, aku dah nampak masjid itu. Tapi aku tersesat jalan ke masjid ini empat kali dengan tiga kali aku bertanya orang. Aku telah tersalah masuk jalan. Sehingga sudah hampir ke masjid itu kira-kira setengah kilometer pun aku tersalah masuk jalan. Kerana sesat jalan ini walaupun sudah hampir sampai ke destinasi aku telah terlepas solat zuhur berjamaah.

Ini semua gara-gara ketidakcerdikan pentadbir bandar ini kerana tidak meletakkan papan- tanda petunjuk jalan arah ke bangunan masjid yang sangat penting ini. Aku perhatikan untuk bangunan-bangunan penting yang lain dan destinasi pelancongan yang penting ada papan-tanda petunjuk arah. Tetapi mengapa untuk ke masjid tiada satu pun papan-tanda petunjuk arah? Sungguh mengheran, kerajaan BN yang berbangga dengan Islam Hadhari tidak merasa penting untuk mengadakan papan-tanda arah ke masjid. Ini sangat dikesalkan.

Akhirnya aku sampai juga ke Masjid Putra dan solat di dalamnya. Satu yang unik mengenai masjid ini ialah suara sirr atau perlahan semasa aku baca dalam solat terasa "kuat" bunyinya. Berbanding dengan masjid-masjid yang lain suara sirr aku tenggelam, ini boleh jadi disebabkan oleh pencemaran bunyi ataupun bahan binaan dan architecture-nya yang tak mesra telinga muslim. Peraturan masjid ini yang melarang pemakaian sebarang alas kaki untuk masuk ke tandas adalah satu tindakan yang bodoh, kerana tandas adalah tempat kotor dan lantai tandas sudah sayugianya kotor maka pemakaian alas kaki adalah suatu yang sungguh bijak. Di tandas masjid ini tidak ada kemudahan untuk basuh kaki sebelum keluar dari tandas. Yang aku nampak ada dua paip yang sudah rosak di pintu masuk tandas itu.

Selepas aku solat aku pun berjalan ke Souk, tempat pertemuan reunion itu. Kompleks Souk ini terletak bersebelahan Masjid Putra.

Nanti besok aku sambung tulis mengenai reunion itu, insyaAllah.