Monday, January 24, 2011

Suara azan yang tersangat kuat sehingga menyakitkan telinga adalah bukan dari ajaran Islam



بسم الله


Nota aku ini adalah himpunan komen-komen aku dalam wall FB aku dengan tajuk yang sama seperti tajuk di atas dengan edit dan tambahan.


Sila baca.


MUQADDIMAH

Memulaskan volume suara azan sehingga tersangat kuat adalah perbuatan orang jahat yang merosakkan agama Islam dari dalam sedangkan mereka sangka mereka sudah melakukan 'amalan yang baik.

Terdapat petugas masjid yang jahil yang menghalakan suara azan yang sangat kuat itu ke dalam ruang dalam masjid sehingga menyakitkan telinga orang yang normal. Menyakiti hati orang-orang mukmin yang berada di masjid dan di luar masjid adalah berdosa.

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا


Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukminin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.

(Al-Ahzab 33 : 58)

Terdapat juga petugas masjid yang jahat dan tidak berhati perut yang menghalakan pembesar suara tepat ke arah jiran sebelah masjid kemudian menguatkan dengan sangat kuat volume pembesar suara itu lantas melaungkan azan, ini adalah suatu perbuatan dosa kerana menyakitkan jiran-jiran lebih-lebih lagi jiran itu beragama Islam dan juga suatu dosa serta bid'ah kerana berlebih-lebihan dalam melakukan ibadah azan.

Kalau orang yang jahil lagi jahat budinya diberi amanah urusan masjid maka bermacam-macam kerosakan akan muncul dalam masyarakat ini.



BELAJARLAH DARI SEJARAH

Islam telah berkembang ke seluruh dunia selama lebih dari satu ribu tahun dengan cara yang tabi'i yaitu dengan tanpa pembesar suara. 'Ibadah azan telah dimulakan di Madinah dengan suara yang asli tanpa pembesar suara dan ingatlah Islam pada masa itu adalah Islam yang terbaik, generasi Islam pada masa itu adalah generasi Islam yang terbaik. Tetapi terdapat orang yang mengaku Islam pada zaman ini merasa lebih pandai dan lebih baik dari generasi pertama Islam itu lantas tidak merasa redha sunnah Nabi sollAllohu 'alaihi wa aalihi wa sallam.



BERLEBIH-LEBIHAN DALAM BERIBADAT TANPA HAQ

Berlebih-lebihan dalam volume pembesar suara di masjid adalah haram dan berdosa bagi sesiapa yang melakukannya, tidak ada kebaikan untuk mereka.

Begitu juga menyakitkan hati jiran dengan volume pembesar suara yang melampau itu adalah haram dan berdosa, pelakunya telah berbuat dosa dan permusuhan dan patut dita'zir.

Kita kena tunjukkan marah kita kepada ma'siat dan bid'ah yang tersangat melampau itu. Bid'ah dan ma'siat mereka itu bukan hanya tertumpu kepada pelaku bid'ah dan ma'siat itu sahaja, tapi ia telah melibatkan semua orang dalam masyarakat sekitar.

Benci dalam hati terhadap bid'ah dan ma'siat walaupun ia baik, namun ia adalah selemah-lemah iman.



QAEDAH BERAMAL

Azan adalah suatu 'ibadah khususiyyah dengan lafaz-lafaz yang tertentu dan dengan tatacara tertentu dan dengan masa yang tertentu dan orang yang tertentu yang melakukannya dan dengan pantang larang tertentu. Sesiapa yang belajar usul al-fiqh, dia akan bertemu dengan kaedah seperti berikut :

"Asal 'ibadah itu adalah haram melainkan didatangkan dalil yang menunjukkan kehalalannya".

Dengan lain perkataan, suatu 'ibadah untuk mendekatkan diri kepada Alloh adalah haram dilakukan melainkan ada dalil yang sahih dari Al-Quran dan As-Sunnah, sekiranya tiada dalil maka tidak boleh meng'amalkannya.

Azan bukannya urusan dunia. Sedangkan urusan dunia ulamak telah terangkan qaedahnya seperti berikut :

"Asal dalam urusan dunia adalah harus melainkan ada dalil yang menunjukkan keharamannya"

'Ulamak Ahlus-Sunnah telah menjelaskan banyak 'amalan-'amalan yang ditempekkan atau dengan lain perkataan ditambah kepada azan samada sebelumnya atau semasanya atau selepasnya. Sekiranya ada izin Alloh aku akan perjelaskan perkara ini di lain tempat, in sya Alloh.

Oleh itu walaupun azan itu adalah suatu syi'ar Islam yang utama, namun azan tertakluk kepada qaedah-qaedah yang telah ditetapkan oleh syara'. Tidak boleh melakukan sesuka hati terhadap azan. Mentang-mentanglah ia azan maka ada yang jahil merasakan mereka boleh berbuat sesuka hati terhadapnya, ini adalah suatu sikap yang salah.

Sebenarnya isu penyalahgunaan pembesar suara oleh masjid ini adalah lebih luas dari hanya pada azan sahaja. Ia meliputi bacaan Al-Quran dan nasyid dan tarhim sebelum azan, bacaan zikir-zikir selepas solat dan juga kuliah-kuliah pengajian dan juga majlis tadarrus Al-Quran. Sebelum ini sejak dua tahun dulu aku sudah tulis artikel berkenaan isu ini, berikut linknya :

http://al-aminj.blogspot.com/2008/09/n45-ulamak-mutabar-tentang-gangguan.html



PENOLONG BID'AH

Nampaknya pelaku jinayah penyalahgunaan pembesar suara itu mempunyai ramai penyokong terdiri dari orang jahil-jahil dan para imam dan ustaz-ustaz. Ada di antara mereka yang sanggup menunjukkan kebodohan diri sendiri dengan menunjuk perasaan di kawasan masjid dengan menjerit-jerit macam orang gila. Parti-parti politik tertentu pun tumpang sekaki.



SEJARAH, TEKNOLOGI DAN BATAS-BATAS SYARA'

Azan adalah suatu 'ibadah khususiyyah yang tidak halal di'amalkan melainkan dengan peraturan syara' yang tertentu ya'ni dengan lafaz-lafaz yang tertentu dan dengan tatacara tertentu dan dengan masa yang tertentu dan orang yang tertentu yang melakukannya dan dengan pantang larang tertentu

Azan asalnya sejak lebih satu ribu tahun dulu dilaungkan hanya dengan suara yang asli dengan muazzin berada di tempat yang tertentu di masjid. Dengan laungan suara yang asli tanpa bantuan apa-apa alat pembesar suara elektronik, telah berjaya menarik muslimin ke masjid untuk solat berjama'ah sehingga penuh masjid, begitulah yang terjadi sejak awal Islam, hal ini tidak pernah menjadi masalah kepada kaum muslimin dan kepada agama Islam itu.

Kemudian apabila datang teknologi baru dengan adanya alat pembesar suara elektronik, ummat Islam mula menggunakan alat tersebut untuk laungan azan supaya suara azan itu dapat pergi lebih jauh. Nampaknya tidak ada 'ulamak yang membantah penggunaan teknologi moden ini. Namun ada pendapat yang mengatakan lebih afdhal azan tanpa pembesar suara kerana semata-mata untuk ikut sunnah; dan perintah Nabi sollAllohu 'alaihi mwa aalihi wa sallam kepada muslimin untuk hadir ke masjid untuk solat berjama'ah hanya bagi mereka yang mendengar suara azan yang asli sahaja.

Penggunaan teknologi pembesar suara elektronik ini nampaknya telah diterima dengan baik di seluruh dunia Islam melainkan di segelintir tempat yang tetap mahu ikut sunnah Nabi sollAllohu 'alaihi wa aalihi wa sallam seperti yang di'amalkan dimasa Nabi sollAllohu 'alaihi wa aalihi wa sallam itu.

Adalah difahami pada zaman moden ini terdapat beberapa sumber bising yang tidak dapat dielakkan seperti bising elektronik (electronic noise) dan bising dari jentera motor. Bising-bising seperti ini (dengan syarat tidak terlampau bising) akan menghadkan pencapaian suara azan secara tabi'i, oleh itu adalah wajar digunakan pembesar suara untuk meng-offset-kan bising-bising yang disebut tadi. Volume pembesar suara ini hendaklah dikawal dengan sempurna.

Namun penggunaan teknologi ini walaupun telah diterima dengan baik, ia tetap tidak terlepas dari adab-adab dan akhlaq Islam yang khusus dan umum. Perkara inilah yang telah banyak dilanggar oleh sebahagian ummat Islam dalam ghairah kononnya untuk menyebarkan syi'ar Islam, sedangkan tanpa sedar mereka telah merosakkan imej Islam itu sendiri serta telah melakukan zalim dan aniaya kepada ummat Islam khasnya dan kepada ummat manusia umumnya.

Perkara perlanggaran adab dan akhlaq inilah yang aku timbulkan semoga orang-orang yang beriman ambil peringatan dan ber-awas.

Isu yang aku timbulkan adalah isu kemanusiaan itu sendiri yang mana telah berlaku perlanggaran hak asasi kemanusiaan. Hak-hak jiran wajib diperhatikan dengan saksama supaya tidak ada perlanggaran hak mereka atas nama Islam secara salah.

Menggunakan sebab 'amalan azan yang suci dan mulia untuk melakukan apa sahaja yang mereka suka terhadap azan itu sehingga setiap bantahan terhadap perbuatan mereka itu dianggap sebagai telah membantah Islam dan membantah Nabi sollAllohu 'alaihi wa aalihi wa sallam dan membantah Allah. Ini adalah suatu kekasaran hatibudi dan kejahilan terhadap akhlaq Islam.



DUA ISU BESAR

Ada dua isu besar di sini :

Isu Pertama

Menguatkan volume suara azan dengan sangat kuat di dalam masjid terutamanya di dalam dewan utama solat sehingga menyakitkan telinga orang-orang yang berada di dalamnya. Apakah perlu diperkuatkan dengan sangat kuat volume pembesar suara itu? Jawapannya adalah tidak perlu. Tujuan azan ialah untuk meberitahu ummat islam di sekitar masjid bahawa telah masuk waktu solat dan supaya muslimin mendatangi masjid untuk menunaikan solat fardhu secara berjama'ah. Bagi yang telah berada di masjid terutamanya yang sudah sedia berada di dalam dewan utama solat memadailah suara azan melalui pembesar suara yang minima diperdengarkan, sangat tidak manasabah orang-orang yang berada di situ dipaksa-paksa dengar suara yang teramat kuat dari pembesar suara itu. Sangatlah tidak manasabah. Ataupun suara azan di dalam dewan utama solat masjid tidak perlu langsung guna pembesar suara.


Isu Kedua

Menghalakan alat pembesar suara ke premis jiran sebelah masjid dan memulas volume suaranya dengan sangat kuat. Menyakiti telinga jiran terutamanya jiran yang beragama Islam dengan cara ini adalah haram hukumnya.

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukminin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.

(Al-Ahzab 33 : 58)

Tidak pernah Bilal Bin Robah dan Abdullah Bin Ummi Maktum menyakiti hati jiran masjid seperti ini kerana mereka menggunakan suara yang asli sahaja. Tidak perlulah jiran sebelah masjid dipaksa-paksa dengan suara yang teramat kuat, memadailah mereka mendengar dengan suara yang perlahan sahaja. Di dalam premis itu munkin ada orang yang sakit yang memerlukan rehat, bunyi yang teramat kuat itu sudah tentu menyusahkan mereka.

Perhatikanlah wahai orang ada akal, bukannya kami membantah azan itu, yang kami engkar dan kufurkan ialah perbuatan berlebihan-lebihan yang melampau dalam melaungkan azan itu sehingga menyakitkan orang-orang yang berada di dalam masjid terutamanya di dalam dewan utama solat dan juga jiran masjid yang terdekat bersebelahan.



AZAN BID'AH DAN SYAITAN

Memang benar apabila azan dilaungkan maka syaitan akan lari. Yang syaitan lari itu ialah apabila mereka mendengar azan yang sunnah dan tanpa bid'ah. Sekiranya azan itu disertakan dengan bid'ah dan dosa permusuhan maka syaitan tidak akan lari malah akan gembira kerana ada calon untuk bersama ke neraka bersamanya. Wallohu a'lam.

Pesanan aku kepada mereka yang telah keliru itu dalam isu azan ini, supaya bertaubat dan latihlah hati itu supaya lembut dan bersikap belas ihsan kepada orang lain.



PENGALAMANKU

Di rumah aku, aku boleh dengar suara dari tiga buah masjid, sebuah di Kuala Lumpur dan dua buah di Selangor, malah aku boleh dengar suara dari masjid keempat yang terletak lebih jauh dari ketiga-tiga masjid itu. Adakalanya azan di masjid di Selangor lambat kira-kira dari sepuluh minit, sedangkan orang di Kuala Lumput sedang bersolat. Apakah patut azan di ketiga-tiga masjid itu terlampau sangat kuat dan tidak serentak. Sudah tentu tidak patut. Muazzin yang lambat lebih dari sepuluh minit itu, sepatutnya guna akal supaya tidak menggunakan pembesar suara seperti itu.

Itu baru perkara azan, belum lagi aku kisahkan suara penceramah kuliah-kuliah selepas maghrib dan selepas subuh yang dilontarkan dengan cara biadap yang memaksa semua orang mendengarnya. Mereka itu orang yang sangat jahil dalam 'ilmu kemanusiaan dan dakwah. Jiran-jiran di sekitar masjid itu yang dipaksadengar kuliah itu mempunyai berbagai hal dan masalah di rumah mereka, ada yang sakit, ada yang sedang solat, ada yang sedang berzikir dan ada yang sedang mengulangkaji pelajaran. Puak-puak jahat hatibudi itu bukannya pedulikan itu semua, yang mereka pentingkan ialah syok sendiri dengan suara penceramah kegemaran mereka didengari oleh seluruh orang di sekitar masjid, mereka itu adalah jahat lagi kejam. Mereka itu patut di TAHZIR dan di TA'ZIR atas jinayah yang mereka lakukan itu.

Pernah berlaku sedang aku solat Maghrib berjama'ah di surau NurulMuttaqin tiba-tiba kedengaran suara azan yang kuat dari arah Masjid Salahuddin atau dari Surau Flat Sri Tioman yang jaraknya kira-kira 500m hingga 600m. Ini berlaku kira-kira lapan hingga sepuluh minit setelah masuk waktu maghrib. Apakejadahnya nak paksa orang yang sedang bersolat jama'ah dengar azan itu? Muazzin yang lambat tu hendaklah sedar diri, dia itu sudah lambat, perlahankanlah volume pembesar suara itu, ini tak, dipaksanya juga orang yang sedang solat berjama'ah dengar suaranya.

Pernah juga berlaku suara dari masjid yang lebih jauh dari tiga buah masjid yang aku sebutkan di atas itu kedengaran oleh aku, iaitu dari Masjid Simpang Tiga, Gombak, Selangor yang mengumumkan kematian ahli kariah, diumumnya nama si mati, alamat rumah si mati dan masa dan tempat untuk dikebumikan. Pengumuman ini biasanya dibuat selepas solat subuh. Perbuatan mengumumkan kematian seperti ini dianggap haram oleh sebahagian 'ulamak atas alasan meratapi kematian.

Sekarang ni aku cuak hendak beri derma kepada masjid, mengenangkan berbagai bid'ah dan jinayah yang pengurusan masjid lakukan yang tidak mampu aku cegah secara berdepan semuanya. Kalau masjid minta derma untuk renovation, kemunkinan satu sen pun aku tidak beri adalah tinggi.

Masjid India Kuala Lumpur yang aku selalu solat di dalamnya pun aku tahan duit aku untuk projek pengubahsuaiannya. Tengoklah entah apa-apa tambahan pada masjid itu dibuatnya dengan tambahan yang tidak perlu dan ada antaranya tambahan yang mengganggu Nabi sollAllohu 'alaihi wa aalihi wa sallam kerana menghiaskan dinding masjid pada arah qiblat di hadapan dengan hiasan awan larat yang melalaikan orang yang sedang solat. Sila baca hadis sahih berikut untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kesalahan itu.


Hadis Pertama

عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ قِرَامٌ لِعَائِشَةَ قَدْ سَتَرَتْ بِهِ جَانِبَ بَيْتِهَا فَقَالَ لَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ : أَمِيْطِيْ عَنِّيْ قِرَامَكِ هَذَا. فَإِنَّهُ لَا تَزَالُ تَصَاوِيْرُهُ تَعْرِضُ لِيْ فِيْ صَلَاتِيْ

Dari Anas katanya : Adalah tabir milik 'Aisyah yang dia gunakan buat menutup tepi rumahnya, maka Nabi sollAllohu 'alaihi wa aalihi wa sallam bersabda kepadanya (Aisyah) :

“Singkirkanlah tabirmu ini, kerana gambar-gambarnya sentiasa menggangguku dalam solatku.”

(Hadis Riwayat Ahmad Dan Al-Bukhari)

Kitab Rujukan : Nailul-Author (نيل الأوطار) Juz 2, Bab Makruh Pada Kiblat Masjid Apa Yang Melalaikan Orang Yang Sedang Solat.


Hadis Kedua

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى فِيْ حَمِيْصَةٍ لَهَا أَعْلَامٌ فَقَالَ : شَغَلَتْنِيْ أَعْلَامُ هَذِهِ . إِذْهَبُوْا بِهَا إِلَى أَبِيْ جَهْمٍ وَأْتُوْنِيْ بِأَنْبِجَانِيَّتِهِ

Dari ‘Aishah, bahawa Nabi sollAllohu 'alaihi wa sallam bersolat dengan mengenakan hamisoh1 (حَمِيْصَة), kemudian sabdanya : “Gambar-gambar pakaian ini mengganggu perhatianku, kembalikanlah pakaian ini kepada kepada Abu Jahmin dan tukarkanlah dengan anbijaniah2 (أَنْبِجَانِيَّة)nya.”

(Hadith Riwayat Al-Bukhari Dan Muslim)

1 hamisoh (حَمِيْصَة) : pakaian dari bulu yang bergambar

2 anbijaniah (أَنْبِجَانِيَّة) : pakaian bulu kasar yang tidak bergambar



CONTOH LAIN MENGENAI JINAYAH BISING DI MASJID

Terdapat banyak contoh mengenai amalan 'ibadah yang apabila dilakukan secara salah samada yang menyalahi dari segi cara yang telah diajarkan oleh sunnah atau salah dari segi pelanggaran pantang larangnya yang khusus (yang dinyatakan secara khusus oleh hadis) atau secara umum.

Perkara-perkara seperti inilah yang ramai orang malakukannya lantaran tidak mengetahuinya kerana jahil dan / atau kerana tebal sikap 'asobiyyah terhadap ajaran tok guru mereka, lantas sebahagian daripada mereka akan memprotes secara bodoh apabila mereka ditegur dan dilarang kesalahan dan bid'ah yang mereka lakukan.

Antara contohnya ialah membaca Al-Quran dengan suara yang kuat di masjid. Membaca Al-Quran adalah 'amalan yang utama dalam Islam. Membacanya hendaklah dengan sebutan dan tajwid yang betul. Selain itu terdapat pantang larang berkenaan bacaan Al-Quran. Antara pantang larang dalam membaca Al-Quran ini ialah dilarang keras meninggikan suara bacaan Al-Quran itu apabila membacanya di masjid kerana menghormati orang yang sedang solat di dalamnya. Dalilnya ialah :


Hadis Pertama

Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasai, Al-Baihaqi serta Al-Hakim yang mengatakan bahawa hadis ini adalah sah menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim.

روى عَنْ اَبِىْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِىِّ اَنَّ النَّبِىَّ صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِعْتَكَفَ فِى الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُوْنَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ الْسِتْرَ وَقَالَ : اَلا اِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلا يُئْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِى الْقِرَاءَةِ

Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri bahawa Nabi sollAllohu 'alaihi wa sallam beri'tikaf di masjid, lalu beliau mendengar orang-orang mengeraskan suara dalam bacaan Al-Quran, maka beliau membuka tabir dan bersabda : “Ingatlah bahawa kamu semua sedang bermunajat dengan Robbnya, maka janganlah sebahagian kamu mengganggu sebahagian yang lain, dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara mengatasi yang lain dalam bacaan Al-Quran”

(Kitab Rujukan : Fiqhus-Sunnah Jilid 1, As-Saiyid Sabiq, Bab Mengeraskan Suara Dalam Masjid)


Hadis Kedua

Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang sah :

Dari Ibnu 'Umar rodiyallohu 'anhu bahawa Nabi sollAllohu 'alaihi wa sallam pada suatu ketika pergi ke masjid. Didapatinya banyak orang bersolat dan banyak pula yang mengeraskan suara dalam membaca Al-Quran, maka sabdanya “Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang munajat dengan Robb-nya ‘Azza wa Jalla, maka sepatutnya ia memerhatikan dengan apa yang dimunajatkan (dipercakapkan) itu. Dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara mengatasi yang lain dalam bacaaan Al-Quran.

(Kitab Rujukan : Fiqhus-Sunnah Jilid 1, Bab Mengeraskan Suara Dalam Masjid; As-Saiyid Sabiq)


Dari dua buah hadis sohih itu jelas menunjukkan dilarang mengganggu orang yang sedang bermunajat atau bersolat walaupun dengan suara bacaan Al-Quran.

Orang-orang yang baca Al-Quran di masjid dengan suara yang kuat ini hendaklah ditegur dan dilarang. Perbuatannya itu tak ada faedah langsung untuknya kerana ber'amal secara salah itu tidak menghasilkan apa-apa pahala malah berdosa.

Tapi sangat disayangkan, yang buat jinayah mengganggu orang yang bermunajat di masjid ini bukan orang biasa tapi petugas masjid dengan restu jawatan kuasa masjid. Merekalah penjinayah yang jahat kerana memasangkan suara rakaman bacaan Al-Quran dengan kuat melalui pembesar suara atau membaca sendiri Al-Quran itu untuk diperdengarkan kepada semua orang di masjid dan sekelilingnya.

'Ulamak yang perihatin hendaklah men-TAHZIR mereka yang jahil dan bersalah itu.



PIHAK BERKUASA AGAMA

Pihak berkuasa agama hendaklah sangat perihatin akan perlanggaran akhlak ini supaya imej Islam tidak tercemar oleh ulah sebahagian orang yang jahil berlagak pandai. Wujudkanlah undang-undang yang mengawal penggunaan pembesar suara seperti undang-undang anti sosial /anti bising dalam Akta Kerajaan Tempatan. Mereka yang melanggar undang-undang hendaklah dita'zir.


NOTA : PADA AHAD 28 APRIL 2019 AKU PADAM GAMBAR YANG ADA DI POSTING INI DAN AKU EDIT EJAAN SOLAWAT DAN SEBAHAGIAN EJAAN PERKATAAN YANG LAIN.

Asal Usul Perayaan Harijadi

Berikut adalah tulisan aku sebagai jawapan kepada pria_malaya08 mengenai soalannya mengenai sambutan harijadi. Tulisan ini aku tulis pada Januari 2009.


(1) ASAL USUL PERAYAAN HARIJADI (BIRTHDAY CELEBRATION)

Perayaan sambutan harijadi berasal dari fahaman paganism.

Menurut “The Encyclopedia Americana (1991)” di dunia kuno Mesir, Greece, Rome dan Parsi disambut perayaan harijadi “tuhan-tuhan”, raja-raja dan pembesar-pembesar. Pengarang buku Ralph dan Adelin mengatakan bahawa di Mesopotamia dan Mesir, tempat bermulanya tamadun manusia adalah tempat bermulanya manusia mengingati dan menghormati harijadi (birthday). Menyimpan rekod tarikh harijadi di dunia kuno tersebut adalah penting kerana tarikh lahir adalah penting dalam meramalkan dalam ilmu nujum (horoscope).

Asalnya istilah paganism adalah bermakna satu amalan spritual dan agama yang diamalkan pada zaman sebelum era kristian di Eropah. Kemudian istilah itu berkembang menjadi satu amalan spiritual dan agama selain dari agama Abrahamic yaitu agama Islam, Kristian dan Judaism.

Untuk bacaan lanjut mengenai istilah paganism sila buka link berikut

http://en.wikipedia.org/wiki/Paganism


(2) PANDANGAN YAHUDI DAN NASRANI TENTANG PERAYAAN SAMBUTAN HARIJADI

Dengan melihat makna istilah paganism ini, adalah tidak menghairankan apabila orang Yahudi pada zaman kuno itu tidak merayakan sambutan harijadi kerana mereka menganggap ia sebagai paganism. Begitu juga dengan golongan Nasrani pada 300 tahun pertama tidak merayakan sambutan harijadi sesiapa terutamanya harijadi Nabi Isa a.s. kerana menganggapnya sebagai paganism.

Untuk bacaan lanjut sila buka link berikut

http://wiki.answers.com/Q/What_is_the_origin_of_birthday_celebrations

Ikut setengah pendapat satu golongan rabbi yahudi dalam kitab suci mereka hanya ada satu sahaja tempat disebut mengenai sambutan “akil baligh” kanak lelaki berusia 13 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun. Perayaan ini tidak seperti perayaan harijadi sekular pada hari ini.

Satu golongan Kristian iaitu Jehovah's Witnesses tidak merayakan sambutan harijadi kerana mereka menganggap ia adalah perayaan harijadi Firaun dan Herod Rom yang mana Herod Rom ini telah memenggal leher Nabi Yahya (John the Baptist)


(3) BERMULANYA SAMBUTAN HARIJADI DALAM DUNIA KRISTIAN DI EROPAH

Adalah dijangkakan asal bermulanya secara meluas perayaan sambutan harijadi di Eropah adalah dari amalan MITHRAS yang berasal dari Parsi, yang disebarkan oleh tentera Rom di seluruh empayar Rom. Walaupun Rom dan Parsi saling bermusuhan, tentera Rom telah mengambil ajaran Mithraism dari Parsi. Kemudian apabila kerajaan Rom dan rakyatnya menganut Kristian, fahaman Mitraism ini dimasukkan ke ajaran Kristian.

Untuk bacaan lanjut sila buka link berikut

http://en.wikipedia.org/wiki/Birthday


(4) ASAL USUL LIRIK DAN LAGU HAPPY BIRTHDAY

“Happy Birthday To You” atau “Happy Birthday” adalah nyanyian tradisional, liriknya tidak diketahui siapa yang mula menciptanya.

Melody lagu ini datang dari dari nyanyian “Good Morning To All” yang ditulis dan direka oleh dua orang wanita Amerika iaitu Patty Hill dan Mildred J. Hill dalam tahun 1893 di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat. Kombinasi lirik dan melodi dalam nyanyian “Happy Birthday To You” mula keluar dalam bentuk bercetak pada 1912 atau boleh jadi lebih awal dari itu. Tiada satu pun dari terbitan awal nyanyian ini mempunyai notis copyright (hakcipta). Sebuah syarikat bernama The Summy Company telah mendaftarkan hakcipta lagu ini pada 1935 dengan menyatakan Preston Ware Orem dan Puan R.R. Forman sebagai sebagai pengarang lagu ini.

Untuk bacaan lanjut sila buka link berikut

http://en.wikipedia.org/wiki/Happy_Birthday_to_You


(5) SAMBUTAN HARIJADI DI MALAYSIA

Malaysia adalah tanah jajahan British. Sangat banyak budaya-budaya dari British samada dari agama Kristian atau dari ajaran sekular barat telah terserap dan diamalkan di Malaysia termasuk perayaan menyambut hari jadi atau hari lahir. Apakah amalan menyambut harijadi ini diciplak dari Kristian atau berbentuk secularisma perlu dibincang di tempat lain. Amalan menyambut ulangtahun hari lahir yang banyak berlaku ini perlu dicermati agar tidak terpesong aqidah dan amalan orang Muslim. Maka menjadi tugas ulamak yang prihatin untuk memberi jawapan kepada hal ini.

Ada berbagai cara orang menanggapi ulangtahun hari lahir. Ada yang sekadar mengingatinya. Ada yang mengadakan parti untuk bersukaria. Ada yang membuat kenduri doa selamat. Ada yang sekadar memberi hadiah kepada orang yang berkenaan. Ada yang sekadar menulis kata-kata manis dan doa yang baik kepada kepada orang yang berkenaan di dalam blog.

Aku tak pernah menyambut ulangtahun harilahirku melainkan sekali sahaja semasa aku kanak-kanak, itu pun terikut-ikut kerana kawan membuatnya maka aku pun ingin membuatnya. Tidak ada parti sukaria, cuma makan-makan sahaja. Semasa dewasa ini aku hanya memberi hadiah kepada dua orang sahaja sebagai ingatan tanpa berparti dan sekali sahaja aku ucapkan Happy Birthday.